SEPANG – Satu kejadian tanah runtuh di kesan di Jalan Desa Putra, Kampung Sungai Merab Hulu, di sini, menyebabkan dua buah rumah berada dalam keadaan bahaya.
Bagaimanapun, insiden yang mula dikesan sejak 11 pagi itu tidak membabitkan sebarang kehilangan nyawa.
Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, anggotanya dari Balai Polis Dato’ Abu Bakar Baginda dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Baru Bangi telah pergi ke lokasi kejadian untuk pemantauan.
Beliau berkata, tinjauan mendapati, dua buah rumah dikesan berada berhampiran lokasi tanah runtuh itu dan ia berlaku berhampiran bahagian dapur salah sebuah kediaman berkenaan.
“Ketika tiba di lokasi kejadian, penghuni kedua-dua rumah itu tiada di rumah dan sudah pindah ke lokasi selamat sebaik insiden itu.
“Sehingga kini, pergerakan tanah masih berlaku dan kejadian itu turut berada di bawah pemantauan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kejadian tanah runtuh itu juga semakin hampir dengan bangunan bahagian dapur rumah yang terlibat.
Insiden sama turut dikongsi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dengkil Adhif Syan Abdullah menerusi hantaran Facebook hari ini sejurus meninjau lokasi itu petang tadi.-K! ONLINE