LONDON – Sekumpulan penyelidik di Britain mendapati bahawa dos penggalak dapat memberi perlindungan 85 peratus terhadap simptom teruk akibat jangkitan varian terbaharu koronavirus, Omicron, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Perlindungan tersebut adalah lebih lemah berbanding perlindungan terhadap varian lain, namun, dos tambahan itu masih mampu mencegah banyak kes kemasukan ke hospital akibat varian Omicron.
Data kerajaan menunjukkan sebanyak 861,306 suntikan dos telah diberikan di Britain sejak Khamis lalu.
Salah seorang penyelidik dari Imperial College London, Profesor Azra Ghani berkata, saintis-saintis belum padat mengesahkan sejauh mana keterukan jangkitan varian Omicron berbanding varian sebelumnya.
‘’Walaupun masa beberapa minggu diperlukan untuk memahami sepenuhnya perkara ini, kerajaan perlu membuat rancangan sekarang untuk menangani sebarang impak yang mungkin berlaku.
‘’hasil kajian kami menunjukkan kepentingan memberikan dos penggalak sebagai sebahagian daripada tindak balas kesihatan awam yang lebih meluas,’’ jelasnya.
Antibodi manusia boleh melekat pada virus untuk menghentikannya daripada memasuki sel dan membiak. Kajian menunjukkan keupayaan tersebut berkurang 20 hingga 40 kali ganda dalam kalangan mereka yang mendapat dua suntikan lengkap vaksin Covid-19 akibat jangkitan Omicron.
Walaupun menerima suntikan dos penggalak, perlindungan terhadap penyakit teruk akibat jangkitan Omicron berada pada sekitar 80 hingga 85.9 peratus berbanding perlindungan 97 peratus terhadap varian Delta yang kini dominan di Britain. – Agensi