fbpx

Bapa sedih diberitahu jangka hayat anak tidak panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd. rahman sayu mengenangkan nasib Mohd. Adam yang menghidap penyakit jantung terbalik ketika ditemui di Pontian semalam.

PONTIAN – Seorang lelaki buntu mengenangkan nasib hidupnya apabila bukan sahaja terpaksa mengehadkan pekerjaannya sebagai pemandu lori selepas kematian isteri, malah berdepan dengan ujian apabila anaknya disahkan menghidap penyakit jantung terbalik.

Abd. Rahman Ahmad, 47, berkata, sejak isterinya meninggal dunia enam bulan lalu, dia perlu memberi perhatian kepada anaknya, Mohd. Adam Amsyar, 9, yang menghidap penyakit yang jarang ditemui itu atau dalam bahasa saintifiknya mitral atresia.

Kata Abd. Rahman, isterinya meninggal dunia kerana menghidap pe­nyakit kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

“Saya hanya membawa lori ayam seminggu sekali dari Pontian ke Johor Bahru dengan upah sebanyak RM50. Ketika saya kerja, anak perempuan saya, Irin Nadiya, 11, akan menjaga Mohd. Adam.

“Ketika isteri saya masih ada, saya tidak bimbang untuk me­ninggalkan mereka, namun kini hati saya tidak tenteram dan ingin cepat pulang ke rumah setelah selesai kerja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Parit Haji Ahmad, Sanglang di sini semalam.

Terdahulu, Abd. Rahman menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Sultanah Fatimah, Datuk Tee Siew Kiong yang me­nyampaikan sumbangan seba­nyak RM5,000 bagi keperluan membeli susu formula selama setahun.

Siew Kiong yang juga Penasihat Khas Menteri Besar Johor turut menyampaikan bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak, tepung, gula, sardin dan lain-lain.

Menurut Abd. Rahman, Mohd. Adam disahkan menghidap pe­nyakit jantung terbalik pada usia tujuh tahun selepas kerap me­ngalami sesak nafas, bengkak muka dan badan menjadi kebiruan.

“Adam kini bergantung kepada ubat-ubat khas serta meminum susu formula yang berharga RM150 setin. Setiap bulan dia memerlukan empat tin susu itu,” ujarnya yang juga menghidap penyakit semput.

Tambahnya, dia menerima bantuan sebanyak RM550 sebulan dari Baitulmal dan digunakan bagi menampung perbelanjaan Mohd. Adam.

“Saya juga ada melakukan kerja-kerja kampung seperti memotong rumput kerana upah menghantar ayam dari Pontian ke Johor hanya sebanyak RM200 sebulan,” ujarnya.

Dia memberitahu, anaknya kerap mengalami sesak nafas dan setakat ini doktor membe­ritahu mereka tidak akan membedah Mohd. Adam.

“Saya sedih apabila diberitahu oleh doktor bahawa jangka ha­yatnya juga tidak panjang, dia pun teringin pergi ke taman tema Legoland di Johor Bahru, namun buat masa sekarang memang saya tidak mampu,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Abd. Rahman Ahmad di talian 013-545 3175 atau melalui akaun BSN 0100741100012342.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI