fbpx

Belukang sungai jadi buruan di musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJUMLAH ikan belukang yang berjaya didaratkan Syafiq Iqmal di kawasan mendapan lumpur di Sungai Semerak, Pasir Puteh baru-baru ini.

SPESIES-SPESIES ikan yang dikategorikan sebagai hidupan bermulut besar kini menjadi buruan kaki pancing untuk melepaskan gian setelah tidak dapat ke tengah laut ekoran laut bergelora sepanjang hujung tahun ini.

Kawasan sekitar Sungai Semerak Terusan Tok Bali dan lagun di Pasir Puteh, Kelantan yang turut terdapat palong dan sangkar itu kini menjadi lokasi tumpuan pemancing bagi memburu belukang, selain kerapu dan sembilang.

Kawasan tersebut merupakan lubuk bagi ikan belukang kerana ia tahan dengan pelbagai keadaan dan kualiti air sungai, apatah lagi pada masa ini kerana banyak menerima kemasukan air tawar kesan taburan hujan lebat musim tengkujuh.

Kaki pancing di Sungai Semerak, Syafiq Iqmal Mohamad Azihan, 20, berkata, ikan belukang sebelum ini diletakkan pada carta paling rendah kerana sifat dan tabiatnya yang agak berbeza dengan spesies ikan lain.

Menurutnya, penduduk kawasan pantai suatu ketika dahulu akan membuang ikan ini sekiranya berjaya dipancing kerana dianggap ‘kotor’.

SYAFIQ IQMAL bersama ikan belukang yang dipancingnya di Sungai Semerak, Pasir Puteh baru-baru ini.

“Penduduk tepian sungai suatu ketika dahulu bahkan membina tandas di permukaan air sungai apabila najis manusia pun ikan ini turut menjadikannya sebagai santapan.

“Sekarang semuanya sudah berubah dan ikan ini boleh dikatakan bersih.

“Tiada lagi tandas dan tiada lagi sisa buangan termasuk bangkai binatang dibuang ke dalam sungai untuk memberinya makan, namun hanyir ikan ini tetap kekal dan hanya mereka yang mahir menyiang serta memasaknya mampu menghasilkan juadah gulai asam pedas yang enak,” katanya ketika ditemui Gewang di Sungai Semerak, Pasir Puteh baru-baru ini.

Syafiq Iqmal berkata, belukang kini juga sudah diproses sebagai ikan kering yang dijual seperti spesies ikan lain sekali gus membolehkan pemancing menjualnya kepada pengusaha ikan kering.

Menurutnya, nelayan di Pasir Puteh juga menggunakan isi ikan belukang sebagai umpan yang diletakkan dalam bubu ketam nipah selain digunakan sebagai pemanggil anak kerapu.

MENGAIL spesies-spesies ikan di sekitar Sungai Semerak, Pasir Puteh memberikan kepuasan tersendiri bagi kaki pancing.

“Tiga lokasi ini terutamanya di Sungai Semerak dan lagun, aliran air pasang surutnya agak perlahan bagaikan sungai mati sekali gus menyebabkan banyak berlaku mendapan dan dasar yang berselut itulah yang menjadi habitat kepada ikan jenis ini.

“Belukang bagaimanapun bukanlah selalu menjadi buruan sebenar kaki pancing kerana ikan gred A seperti kerapu bintik, kerapu belang serta kakap merah dan siakap putih merupakan sasaran mereka,” katanya.

Namun jelasnya, sebagai langkah melepaskan gian menangkap ikan di laut, kaki pancing tegar memburu ikan belukang kerana tidak mahu memperjudikan nyawa menempuh ombak setinggi empat meter dan angin kencang di tengah laut.

Ujarnya, memancing di Sungai Semerak lebih mudah apabila hanya menggunakan perahu atau membayar sewa untuk bertenggek di beberapa palong memancing atau atas pelampung sangkar belaan ikan yang ditinggalkan.

KAWASAN palong dan sangkar yang ditinggalkan di Sungai Semerak menjadi tumpuan kaki pancing tegar yang tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh.

“Umpan yang paling digemari ikan di sungai ini adalah udang hidup yang juga banyak dijual di sekitar Cherang Ruku. Saya yang tinggal di Kuala Semerak tidak perlu membeli umpan kerana boleh mencarinya di tepi sungai terutama kawasan berpasir sekitar hutan bakau yang berdekatan.

“Udang pasir atau udang putih yang dicangkuk hidup-hidup digemari ikan, namun mengail di laut dengan sungai amat berbeza kerana di sungai pemancing terpaksa menunggu joran direntap,” katanya yang juga pernah menelusuri kawasan sungai itu dan mendapat habuan ikan kerapu seberat tiga kilogram.

Tambahnya, biarpun tidak memancing di laut, semua kaki pancing tetap dinasihatkan agar berhati-hati kerana kejadian tidak diingini masih boleh berlaku semasa musim tengkujuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI