fbpx

Banjir: Bomba angkut mangsa banjir sesak nafas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba membantu seorang wanita yang sesak nafas semasa rumahnya di Kampung Reka, Kuala Balah dekat Jeli dinaiki air. - Foto IHSAN BOMBA

JELI – Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli mengambil masa lebih setengah jam untuk membawa keluar seorang wanita mangsa banjir yang sesak nafas selepas laluan masuk ke kawasan kampungnya di Kampung Reka, Kuala Balah di sini dinaiki air.

Mangsa, Rosmahane Rosli, 30, dibawa ke Hospital Jeli dengan menaiki lori selepas laluan dari Jeli ke Kampung Reka telah ditutup kepada semua kenderaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, wanita tersebut mengalami sesak nafas perlu dipindahkan segera ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Menurutnya, mangsa dibawa dengan lori Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk meredah banjir sebelum menaiki ambulans apabila tiba di kawasan yang sudah tidak dinaiki air.

“Laluan masuk kampung itu telah ditutup kepada semua kenderaan selepas berlaku banjir ekoran hujan lebat sehingga laluan terputus.

“Kita masih menjalankan pemantauan berkala di kawasan berkenaan. Sebanyak 17 keluarga dari Kampung Baru Kuala Balah telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Adni berkata, 10 anggota dengan dibantu empat anggota Pasukan Bomba Sukarelawan dari Kuala Balah dan dua dari Jeli terlibat dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kampung terbabit.

Tambahnya, kesemua mangsa telah diselamatkan dengan menggunakan bot bomba dan bot polis sebelum dibawa PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Balah di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI