GUA MUSANG – Kira-kira 30 peniaga di Bandar Lama Gua Musang di sini terjejas teruk apabila premis perniagaan mereka digenangi limpahan air banjir di sini hari ini.
Rata-rata peniaga memakulumkan, kejadian itu merupakan kali kedua akibat limpahan air Sungai Cindai pada bulan ini.
Seorang peniaga barangan runcit, Ak. Lim, 68, berkata, hujan berterusan menyebabkan longkang dan sungai tidak dapat menampung jumlah air yang banyak sehingga air melimpahi tebing.
Katanya, air meningkat naik dengan cepat di jalan raya sejak pukul 10 pagi tadi.
“Saya lihat banjir kali ini dijangka lambat surut apabila Sungai Galas yang terletak berdekatan juga sudah melimpahi tebing.
“Kami terpaksa menutup premis dan berjaga-jaga sekiranya air terus naik, kami akan memindahkan barang ke tempat selamat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Seorang lagi peniaga kedai perabot, Mohd. Rawan Azizul Rahman, 30, berkata, dia sudah meminta pertolongan rakan-rakannya untuk memindahkan barangan ke tingkat atas rumah kedainya.
Katanya, setiap hujung tahun peniaga di kawasan Bandar Lama yang terletak berhampiran Sungai Cindai akan mengalami kerugian kerana terpaksa menutup premis mereka. -K! ONLINE