fbpx

Banjir: 6 PPS dibuka sekitar Sepang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah kereta yang terkandas selepas paras air naik di persimpangan Kota Warisan menghala ke Bandar Baru Salak Tinggi dan KLIA. /FOTO MEDIA SOSIAL

SEPANG – Enam pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir di Bandar Baru Salak Tinggi dan Dengkil.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, seramai 66 mangsa banjir berjaya dipindahkan setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Beliau berkata, tiga PPS di buka di Bandar Baru Salak Tinggi masing-masing di Balai MPKK Salak Tinggi (Kampung Giching), Sekolah Kebangsaan Salak dan Dewan MPKK Kampung Baru Lanjut.

“Selain itu, dua PPS di buka di Dengkil masing-masing di Dewan Taman Gemilang (saringan Covid-19) dan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Ahmad Razali.

“Ketika ini, 36 mangsa berada di MPKK Salak Tinggi (Kampung Giching) dan 30 mangsa di Dewan Taman Gemilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, sebuah lagi PPS dibuka pukul 9 pagi tadi di Sekolah Kebangsaan Sungai Pelek, namun belum ada pemindahan mangsa setakat ini.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan beberapa lokasi di daerah ini mula dinaiki air sejak petang semalam susulan hujan lebat yang menyebabkan air Sungai Langat melimpah. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI