PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana syarikat yang gagal mematuhi keperluan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) dengan alasan munasabah dan melanggar syarat lesen pengendali.
MOT dalam satu kenyataan berkata, pelanggaran syarat tersebut mampu mewujudkan risiko keselamatan kepada pemandu lain, pejalan kaki dan orang awam secara amnya.
“MOT ingin merakamkan rasa kesal dan sedih berhubung kemalangan tragis yang berlaku di lorong kecemasan Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ lewat malam tadi.
“MOT amat berdukacita dengan kejadian tersebut di mana sebuah lori treler merempuh tiga buah kereta yang berhenti di lorong kecemasan sehingga meragut 10 nyawa termasuk seorang ibu dan lapan orang anaknya,” kata kenyataan itu hari ini.
Tambahnya, semua pihak berkuasa berkaitan di bawah MOT termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang menyiasat kejadian tersebut secara terperinci untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan kemalangan tragis itu berlaku.
“Laporan daripada penyiasatan ini, termasuk laporan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) JPJ akan diserahkan secepat mungkin kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) untuk tindakan lanjut di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
“Sekiranya syarikat yang terlibat dalam kemalangan itu didapati telah melanggar keperluan ICOP mereka, APAD akan mengeluarkan perintah untuk menggantung atau membatalkan lesen pengendali syarikat berkenaan,” tegasnya. – K! ONLINE