SHAH ALAM – Jenazah sembilan beranak yang terkorban dalam nahas membabitkan empat kenderaan berhamoiran Hentian Rehat dan Rawat USJ, Lebuhraya ELITE di Subang Jaya dekat sini semalam akan dikebumikan esok.
Lima daripada mangsa termasuk ibu mereka, Allahyarham Norul Naziah Buyong, 37, dijangka dikebumikan dalam satu liang lahad manakala empat lagi termasuk bayi berusia 10 bulan dikebumikan secara berasingan kerana positif Covid-19.
Adik Norul Naziah, Nurul Atika, 33, berkata, jenazah kakak dan lapan anak saudaranya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, di sini.
“Jenazah mereka akan disembahyangkan di sebuah surau di Seksyen 17. Keluarga kami akan menguruskan jenazah secepat mungkin dijangka sebelum zuhur esok,” katanya ketika ditemui di Hospital Shah Alam di sini, petang tadi.
Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang maut, Mohamad Rahimi Rolex, 27, dijangka dikebumikan di tanah perkuburan sama pada malam ini dan ujian saringan Covid-19 mendapati arwah bebas jangkitan virus tersebut.- K! ONLINE