MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ralf Rangnick bakal menyenaraikan pemain pertahanan, Raphael Varane untuk aksi bertemu Brighton malam esok.
Varane sudah kembali menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan itu sejak minggu lalu, namun tidak disenaraikan untuk aksi bertemu Norwich City.
Pemain pertahanan tengah itu terpaksa diketepikan untuk tempoh sebulan selepas mengalami masalah kecederaan hamstring ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Atalanta sebelum ini.
United juga mendapat perkhabaran menggembirakan apabila penyerangnya, Edinson Cavani juga dilaporkan sudah pulih dan cergas sepenuhnya selain bersedia untuk diturunkan pada aksi selepas ini.
Pemain antarabangsa Uruguay itu menjalani pembedahan tendon menyebabkan dia terpaksa disisihkan.
Dalam pada itu, Rangnick tidak berpeluang untuk menggunakan khidmat Paul Pogba yang masih belum pulih daripada kecederaan paha, namun pemain itu dilaporkan sudah mula turun menjalani latihan ringan di gimnasium.
“Dia masih lagi belum pulih dan saya dimaklumkan, ia mungkin mengambil masa beberapa minggu lagi sebelum boleh turun menjalani latihan di padang,” kata Rangnick.
Dalam perkembangan lain, para pemain United sudah kembali menjalani latihan sejak Rabu lalu selepas pusat latihan mereka di Carrington yang ditutup ekoran penularan Covid-19 kembali dibuka.
– AGENSI