PARIS – Mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) pertama di dunia akan dilelong dalam bentuk ‘token digital tidak boleh ditiru atau ditukar ganti’ (NFT) oleh syarikat telekomunikasi Vodafone, lapor laman berita Wion News kelmarin.
SMS pertama itu dijangka mendapat bidaan mencecah AS$200,000 (RM842,600).
Mesej itu dihantar menerusi rangkaian Vodafone pada 3 Disember 1992 dan diterima oleh seorang pekerja bernama Richard Jarvis semasa sambutan Hari Krismas 29 tahun lalu.
SMS yang tertulis dalam 15 huruf iaitu ‘Merry Christmas’ itu dilelong dalam satu-satunya jualan seumpamanya yang diadakan oleh Rumah Lelongan Aguttes di Perancis.
Pembeli akan mendapat satu-satunya replika SMS itu setelah membuat bayaran menerusi transaksi menggunakan mata wang kripto, Ether. Lelongan tersebut pula akan diadakan secara online pada 21 Disember ini.
Hasil lelongan tersebut akan didermakan kepada agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk membantu mangsa pemindahan secara paksa.
Kebanyakan bahan NFT datang daripada karya seni digital dalam bentuk imej, video, GIF dan muzik. – Agensi