PETALING JAYA – Selepas beberapa hari berkelana di bumi Brazil, pendakwah terkenal, Ebit Lew kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan umrah.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya hari ini, Ebit baharu sahaja selesai menunaikan umrah pertamanya pagi tadi.
Pada masa sama, Ebit meminta sesiapa yang mempunyai hajat supaya memaklumkan kepadanya.
“Alhamdulillah, syukur, selesai umrah pertama. Siapa ada hajat boleh tuliskan.
“Semoga Allah kabulkan doa kita semua. Allah Maha Pemurah dan Maha Penyayang sentiasa kabulkan semua doa,” tulis Ebit.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial mendoakan agar Ebit sentiasa dirahmati Allah dan dipermudahkan segala urusan dakwahnya.
“Semoga Allah kurniakan kesihatan yang baik untuk ustaz agar terus berdakwah di bumi Allah,” tulis Eiza Liza.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ijam Cenoi.
“Aamiiin. Terima kasih ustaz. Mohon doakan saya dengan pasangan saya mendapat rezeki anak soleh solehah.
“Sudah 10 lebih telah berlalu menanti dan dengan izinnya saya mohon dengan pasangan saya semoga akan sampai ke tanah suci,” tulisnya.-K! ONLINE