LONDON – Everton dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas pemainnya, Wayne Rooney sebagai pengurus baharu sekiranya membuat keputusan memecat Rafa Benitez.
Kehadiran Benitez di Goodison Park tidak begitu disenangi oleh para penyokong The Toffees ekoran sejarahnya bersama seteru utama, Liverpool sebelum ini.
Lebih memburukkan keadaan, Everton kini hanya mampu meraih dua kemenangan daripada 12 perlawanan selepas aksi awal musim yang meyakinkan dengan meraih 10 mata daripada empat perlawanan.
Pasukan itu ketika ini berada di kedudukan ke-14 Liga Perdana Inggeris dengan hanya memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pasukan yang berada di zon penyingkiran menyebabkan masa depan Benitez menjadi semakin tidak menentu ketika ini.
Perkembangan itu menyaksikan nama Rooney disebut-sebut sebagai calon pilihan sekiranya pemilik kelab itu, Ferhad Moshiri sudah hilang sabar dengan Benitez yang gagal memastikan Everton berada pada prestasi yang terbaik.
Biarpun tidak ada pengesahan rasmi daripada pihak kelab, namun laporan menyebut Everton dan Rooney sudah memulakan perbincangan mengenai sebarang potensi yang memungkinkan dia kembali ke kelab lamanya itu.
Dalam pada itu, bekas pemain Liverpool, Danny Murphy mengakui bahawa Benitez tidak mendapat sokongan kuat di Everton apabila beliau gagal untuk mendapatkan pemain terbaik bagi membantu meningkatkan prestasi pasukan.
“Beliau tidak memiliki skuad yang baik untuk memastikan Everton mampu menjadi kelab pencabar. Beliau tidak mampu membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi dengan pemain yang mereka miliki ketika ini,” jelasnya. – AGENSI