GEORGE TOWN – Pulau Pinang disenaraikan sebagai salah satu daripada 15 pulau terbaik di dunia untuk bersara oleh International Living yang merupakan sebuah laman web antarabangsa.
Selain itu, Pulau Pinang turut menduduki tempat ketiga dalam senarai di seluruh dunia selepas Malta dan Mallorca di Sepanyol dan pertama di Asia sebagai destinasi terbaik untuk bersara.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang telah mencatatkan kejayaan sekali lagi sebagai salah satu lokasi kegemaran rakyat tempatan dan juga warga asing.
“Kerajaan negeri menggalakkan kehidupan lestari. Kami berusaha mencari jalan untuk semua orang hidup lebih baik dan berterima kasih di atas pujian terhadap Pulau Pinang.
“Negeri ini istimewa, gaya hidup di Pulau Pinang adalah mesra rakyat dan terbaik di dunia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menerusi artikel yang diterbitkan oleh internationalliving.com pada 14 Disember lalu, artikel tersebut menyatakan bahawa Pulau Pinang telah menjadi kegemaran kalangan ekspatriat selama beberapa dekad. – K! ONLINE