PASUKAN Tuneboss-Pink Racing sekali lagi melakukan kejutan apabila mempertaruhkan tiga pelumba baharu yang akan bersaing dalam kategori wira pada perlumbaan penutup Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Sepang Selatan hujung minggu ini.
Sebelum ini, Pink Racing hanya menyenaraikan Siti Norsyafiyah Alia Saarizan selaku pelumba tunggalnya dalam saingan tersebut, namun dia tidak dapat meneruskan saingan itu kerana melanjutkan pelajaran.
Pemilik pasukan Pink Racing, Nur Atikah Azwar berkata, pihaknya sudah melakukan sesi pemilihan pelumba pada bulan lalu dan akhirnya menemui pelumba berbakat yang bakal diserap masuk pada musim 2022 dan lebih menarik apabila salah seorangnya ialah wanita.
“Pasukan kami sentiasa melakukan kejutan tetapi kali ini kami ada sebab tersendiri untuk membawa masuk pelumba baharu yang akan bersaing atas tiket wildcard pada perlumbaan kategori wira.
“Lebih menarik, kami akan turunkan pelumba wanita iaitu Nur Dini Uzma Abdullah yang merupakan satu-satunya pelumba wanita yang bersaing dalam kategori Yamaha One Make NVX Challenge dan pernah naik podium tempat ketiga awal perlumbaan musim ini. Selain Nur Dini Uzma, dua lagi pelumba baharu ialah Mohammad Irfan Danish Mohd. Afran dan Danny Mikhail Khairul Fauzi.
“Jadi, kami rasa ini adalah pilihan tepat untuk menguji dan menilai ketiga-tiga mereka di Sepang nanti. Jika mereka menampilkan aksi terbaik dan tidak mustahil dua daripadanya akan menjadi pelumba kami musim depan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Dalam pada itu, Nur Atikah meletakkan sasaran terbaik kepada pasukannya terutama dalam kategori CP125 sekali gus melengkapkan pencapaian skuadnya pada penampilan sulung dalam kejuaraan kompetitif.
“Tahun ini adalah sesi pengenalan buat kami dalam saingan Cub Prix dan pastinya kami sangat berbangga dengan pencapain kami pada ketika ini.
“Pelumba juga menampilkan aksi cukup baik dan saya yakin kami mampu mencapai satu lagi keputusan terbaik dalam dua pusingan perlumbaan terakhir di Sepang nanti,” ujarnya.