LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta tidak lagi berminat untuk membincangkan kedudukan penyerangnya, Pierre-Emerick Aubameyang sebaliknya lebih cenderung untuk memuji barisan pemain mudanya.
Pengurus dari Sepanyol itu nyata kagum dengan prestasi dipamerkan pemain muda yang memastikan kemenangan 2-0 ke atas West Ham United awal pagi semalam hingga melonjakkan pasukan ke kelompok empat terbaik.
Kedua-dua gol The Gunners dijaringkan dua pemain muda mereka, Gabriel Martinelli, 20, and Emile Smith Rowe, 21.
Sepuluh daripada 23 gol Arsenal dalam aksi Liga Perdana Inggeris musim ini dijaringkan oleh pemain berusia 21 tahun ke bawah dan paling banyak berbanding pasukan lain.
“Ia adalah petanda yang cukup positif, cara kami bermain menunjukkan peningkatan, namun masih ada banyak perkara yang kami perlu lakukan.
“Kami sudah lalui banyak cabaran dan kami berjaya belajar sesuatu daripadanya,” katanya.
Selepas Arteta membuat keputusan memberi peluang kepada pemain muda, gaya permainan pasukan itu nyata berubah, namun beliau turut mengakui peranan penting yang dimainkan oleh pemain senior.
“Saya fikir pemain muda beraksi dengan semakin baik, tapi pemain senior juga menunjukkan contoh yang bagus. Adalah suatu yang penting untuk Gabi (Martinelli) menjaringkan gol seperti dilakukannya dalam perlawanan ini.
“Ia cukup membantu kerana mereka (pemain muda) sudah pun saling mengenali sejak daripada akademi. Saya sukakan kombinasi, sumbangan pemain senior dan pastinya saya gembira dapat membantu mereka jadi lebih baik,” jelasnya. – AGENSI