KOTA TINGGI – Salah seorang daripada 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang terselamat dalam kejadian bot karam di perairan Tanjung Balau di sini meninggal dunia pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (APMM) Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata mangsa merupakan seorang lelaki berusia 30-an disahkan meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Katanya, mangsa merupakan satu-satunya yang mengalami kecederaan yang kritikal ketika dijumpai bersama PATI lain pada hari kejadian bot karam tersebut berlaku.
“Pada hari ini pihak kami mendapat berita sedih dimaklumkan bahawa salah seorang mangsa yang selamat pada hari pertama kejadian telah meninggal dunia awal pagi tadi.
“Mangsa seorang lelaki meninggal di HKT dimana saya dimaklumkan secara tidak rasmi punca kematian adalah disebabkan lemas,”katanya pada sidang media di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Tanjung Balau di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain Simon berkata, satu lagi mayat PATI yang lemas berjaya ditemui lebih kurang 2.7 batu nautika di perairan Tanjung Punggai, Pengerang pagi tadi.
Katanya, mayat lelaki dianggarkan berusia 30-an itu ditemui nelayan tempatan dan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kira-kira pukul 1.30 tengahari tadi. – K! ONLINE.