ANGGOTA kumpulan NCT iaitu Mark, Do-young dan Johnny memohon maaf selepas menyanyikan lagu Earthquake dan galak menari apabila penggera amaran bencana alam berbunyi semasa siaran langsung kemunculan semula mereka baru-baru ini.
Terdahulu, NCT mengadakan siaran langsung dalam YouTube bertajuk NCT Universe Countdown Live.
Sekitar pukul 5.20 petang, seseorang daripada mereka menerima amaran kecemasan pada telefon bimbit tentang gempa bumi berukuran 4.9 magnitud yang berlaku berhampiran pantai Pulau Jeju.
Selepas mendengar makluman, Mark, Do-young dan Johnny bertindak balas dengan menyanyi dan menari lagu Earthquake, salah sebuah lagu B-side NCT daripada album Universe.
Ahli lain menghentikan tingkah laku tersebut dan siaran langsung tetap diteruskan.
Rata-rata penonton dan peminat mengkritik dan menyifatkan ketiga-tiga mereka langsung tidak sensitif terhadap situasi tersebut.
Rentetan daripada itu, ketiga-tiga ahli itu tampil memuat naik permohonan maaf akan kesalahan yang dilakukan mereka dalam Instagram peribadi masing-masing.
“Saya ingin mengatakan bahawa saya amat kesal dengan imej yang saya tunjukkan tentang diri saya semasa siaran langsung kemunculan semula hari ini.
“Saya benar-benar minta maaf kerana tersalah menilai keadaan dan bertindak sambil lewa serta terburu-buru. Saya berjanji untuk tidak menunjukkan tingkah laku seperti ini lagi,” tulis Mark.