PETALING JAYA – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendoakan kesembuhan buat Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau dalam satu hantaran di Facebook malam tadi berkata, semoga urusan Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) dipermudahkan.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut mendoakan kesihatan untuk Mahathir.
“Saya dimaklumkan Tun Dr. Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN.
“Saya mendoakan semoga urusan beliau di IJN dipermudahkan dan diberi kesihatan oleh Allah S.W.T,” katanya.
Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri dimasukkan ke IJN petang semalam bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.
IJN dalam satu kenyataan berkata, Ahli Parlimen Langkawi berusia 96 tahun itu tiba di IJN kira-kira pukul 7 petang.
Mahathir yang kini Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dijangka akan berada di IJN untuk beberapa hari lagi. – K! ONLINE