fbpx

Musim penuh cabaran buat Pearly-Thinaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kiri) dan Thinaah sudah tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan lebih besar pada musim depan selepas meraih banyak pengalaman pada musim ini.

PENAMPILAN sulung pada Kejohanan Dunia di Huelva, Sepanyol menyaksikan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah menamatkan saingan di pusi­ngan kedua selepas tewas kepada wakil Hong Kong, Ng Tsz Yau-Yuen Sin Ying.

Pada perlawanan yang berlangsung kelmarin, beregu yang sedang meningkat naik itu terpaksa akur dengan kekalahan tiga set apabila tewas 21-10, 12-21, 11-21 dalam tempoh lebih sejam.

Keputusan itu menyaksikan Pearly-Thinaah menamatkan saingan musim 2021 dengan kekalahan, namun Thinaah menjelaskan, banyak perkara positif boleh diambil daripada prestasi mereka kali ini.

“Musim ini boleh dianggap sebagai medan untuk kami mengutip pengalaman berharga dalam usaha menjadi pemain lebih matang. Kami akan te­rus bekerja keras kerana mahu tampil lebih kuat pada masa hadapan.

“Sepanjang 2021, kami mengharungi pelbagai situasi selain berdepan naik turun prestasi. Kami anggap ia sebagai perkara positif selain tinggalkan apa-apa yang negatif,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, pencapaian beregu No.16 dunia itu boleh dianggap membanggakan apabila memenangi kejohanan badminton Switzerland selain mara ke suku akhir kejohanan Seluruh England (All England).

Justeru, Thinaah menganggap aksi serta keputusan positif yang dilakar sepanjang musim ini mampu menjadi pembakar ­semangat buat mereka menje­lang saingan lebih sukar tahun depan.

“Bagi saingan musim depan, kami sangat teruja dan tidak sabar untuk beraksi dalam kejohanan lebih besar. Sudah pasti kami perlu bersedia sepenuhnya jika mahu catat keputusan yang dimahukan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI