IPOH – Pembukaan semula Jalan Simpang Pulai-Blue Valley di sini hari ini yang ditutup ekoran kejadian tanah runtuh pada 2 Disember lalu memberi kelegaan pada pengguna jalan raya.
Ini kerana laluan tersebut memendekkan perjalanan bagi pengguna dari arah utara melalui Ipoh berbanding menggunakan Jalan Tapah-Cameron Highlands.
Pemandu kereta, Osman Jali Bashar, 42, dari Kulim, Kedah berkata, pembukaan semula jalan itu membolehkan dia dan keluarga meneruskan rancangan percutian ke kawasan tanah tinggi tersebut.
“Jika jalan ini masih ditutup, mahu atau tidak memang kami terpaksa batalkan percutian kerana Jalan Tapah-Ringlet bukan pilihan utama disebabkan takut berselisih (laluan sempit).
“Keputusan untuk bercuti ini pun dibuat saat akhir selepas mengetahui mengenai pembukaan jalan menerusi media sosial.
“Ada juga rasa takut-takut untuk naik (bimbang tanah runtuh) tetapi apabila lihat kenderaan lain keluar masuk, macam okey saja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Penunggang motosikal, Seleman Mat Saad, 35, berkata, dia bersama 13 rakan lain terpaksa berpatah balik menggunakan Jalan Ringlet-Tapah selepas Jalan Simpang Pulai-Blue Valley masih lagi ditutup untuk kenderaan semalam.
“Kami rancang naik ke atas (Cameron Highlands) sebelum kejadian tanah runtuh lagi. Ingatkan semalam, jalan ini telah dibuka tapi bila sampai, kami tidak dibenarkan lalu dan terpaksa berpatah balik ikut Tapah.
“Risau juga untuk gunakan jalan ini (Simpang Pulai-Blue Valley) kerana hari hujan dan banyak kenderaan berat. Kami pun tunggang motosikal dengan berhati-hati disebabkan kabus tebal,” katanya.
Sebelum ini dalam insiden tanah runtuh itu mengorbankan dua mangsa setelah kenderaan masing-masing ditimbus runtuhan tanah dalam kejadian sekitar pukul 1.30 petang
Mangsa yang maut ialah pemandu lori sayur dari Tanjung Piandang, Kerian, Muhammad Hafiz Hamdi, 31, dan pemandu Toyota Alphard, Tan Chee Heng, 36, dari Klang, Selangor.
Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Hamdan Ali berkata, kapasiti air yang tinggi diserap tanah ekoran hujan berterusan sejak dua minggu lalu menyebabkan struktur tebing menjadi lemah dan akhirnya runtuh – K! ONLINE