LONDON – Persekutuan Permotoran Antarabangsa (FIA) mengakui kontroversi perebutan gelaran dunia yang dimenangi Max Verstappen di Grand Prix (GP) Abu Dhabi pada Ahad lalu memburukkan imej sukan tersebut.
Justeru, FIA menjelaskan pihaknya telah menjalankan mesyuarat berkenaan insiden tersebut di Paris dan badan induk sukan tersebut mahu melihat lebih terperinci serta mempelajari apa yang dapat diguna pakai menjelang perlumbaan musim 2022 nanti.
“Perkara ini akan dibincangkan dan ditangani dengan semua pasukan serta pemandu agar mengambil pengajaran daripada situasi yang telah berlaku ini.
“Bukan sahaja perlumbaan Formula Satu yang mendapat manfaat daripada analisis ini, tetapi secara amnya semua kejohanan di bawah kelolaan FIA yang lain,” tambahnya.
Sebelum ini, pengarah perlumbaan F1, Michael Masi mencetuskan kekecohan berikutan tindakannya membenarkan perlumbaan pusingan terakhir dijalankan meskipun pada awalnya ia seperti bakal ditamatkan bersama kereta keselamatan.
Keputusan itu ternyata memberikan kelebihan kepada Verstappen yang berjaya meraih kemenangan selepas memiliki tayar yang lebih cengkaman.
Hamilton yang pada mulanya menguasai sepanjang perlumbaan tersebut dan hampir melengkapkan gelaran dunia kelapan merasakan perlumbaan itu telah dimanipulasi.
Rata-rata peminat Hamilton menegaskan bahawa kemenangan pemandunya itu telah dirompak dan seharusnya dia wajar menjulang gelaran dunia di Abu Dhabi. – AGENSI