PENULARAN wabak Covid-19 telah meningkatkan kegusaran dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia sehingga mengakibatkan gangguan emosi antaranya marah, takut, murung dan kecewa.
Lebih merisaukan apabila ada antara mereka bertindak di luar kawalan disebabkan gagal mengawal emosi, sehingga sanggup membunuh diri sebagai jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.
Perkara itu terbukti apabila Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 September lalu memaklumkan sebanyak 638 kes bunuh diri dilaporkan antara Januari hingga Julai tahun ini.
Jumlah itu katanya menunjukkan peningkatan 143 peratus berbanding 262 kes dalam tempoh yang sama pada tahun 2020.
Hal ini jelas menunjukkan berlaku peningkatan kes setiap tahun melibatkan kejadian bunuh diri terutamanya sepanjang tempoh Covid-19.
Situasi ini tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana pihak kerana gangguan emosi boleh membawa kepada kehilangan nyawa.
Pakar Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Suriati Mohamed Saini sebelum ini dilaporkan berkata, bunuh diri paling kerap berlaku apabila tekanan berkumpul seterusnya mewujudkan perasaan putus ada.
“Kemurungan, kebimbangan dan masalah penyalahgunaan dadah, terutamanya apabila tidak ditangani boleh meningkatkan risiko untuk membunuh diri.
“Selain itu, faktor lain boleh dibahagikan kepada faktor penyakit dan persekitaran,” katanya.
Tambah Suriati, antara faktor penyakit melibatkan kesihatan mental adalah kemurungan, gangguan bipolar, penyalahgunaan dadah, skizofrenia, kebimbangan, kesihatan fizikal serius serta kecederaan otak trauma.
“Faktor persekitaran pula merujuk kepada percubaan membunuh diri sebelum ini selain sejarah keluarga yang pernah membunuh diri, penderaan dan pengabaian sewaktu kecil, akses kepada alatan membunuh diri, tekanan berpanjangan seperti pengangguran serta peristiwa kehidupan yang menimbulkan tekanan,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Pakar Psikologi UKM, Dr. Shalisah Sharip berkata, secara amnya keinginan untuk membunuh diri adalah satu tindakan yang diambil oleh individu disebabkan tekanan atau masalah yang difikirkan tidak mempunyai jalan penyelesaian.
Katanya, jika rakan atau ahli keluarga anda membuat komen seolah-olah menunjukkan bahawa mereka tertekan atau berfikir untuk mengambil nyawa sendiri, perkara itu perlu diambil serius.
“Jangan meremehkan perasaan mereka dan jangan mudah panik.
“Tenang, bersabar dan bersedia untuk mendengar luahan perasaan dan jangan biarkan mereka bersendirian,” katanya.
Tambahnya, ahli keluarga perlu peka dengan segala perubahan tingkah laku individu yang tertekan agar dapat mengelakkan mereka dari melakukan tindakan berbahaya tanpa sedar.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan seandainya masalah yang diluahkan itu sangat berat, pujuk dan gesa mereka untuk segera mendapat rawatan dengan pakar.
Jelasnya, masalah emosi dan tekanan jiwa bukanlah satu perkara yang ringan untuk dibiarkan begitu sahaja kerana kesannya membawa kepada kehilangan nyawa. -K! ONLINE