fbpx

Impak kejatuhan terburuk lira, rakyat Turki sengsara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG wanita berdiri di hadapan papan kenyataan elektronik yang menunjukkan kadar tukaran mata wang asing berbanding lira di Turki.

“HARGA barang kini semua mahal. Dengan harga seperti ini, hendak menyediakan hidangan utama untuk keluarga pun suatu yang mustahil,” ujar seorang lelaki Turki, Sevim Yildirim kepada Badan Penyiaran British (BBC) di sebuah kedai baru-baru ini.

Seorang ibu tunggal, Kadriye Dogru yang merupakan penjual pakaian di pasar pula menyuarakan kesedihan kerana pendapatannya merosot, sekali gus menyukarkannya membeli makanan untuk keluarga.

“Saya belum pernah mengalami kehidupan menyedihkan seperti ini. Saya tidur, bangun lalu menyaksikan harga-harga barang sudah naik.

“Saya mahu membeli lima liter minyak masak pada harga 40 lira (RM12). Beberapa saat kemudian, harganya sudah 80 lira (RM24).

“Kami tidak layak mengalami ini sebagai sebuah negara,” kata wanita berusia 59 tahun itu.

Seorang warga emas, Niazi Toprak terpaksa mengisi perut dengan beratur bersama puluhan warga Istanbul yang lain untuk membeli roti subsidi kerajaan memandangkan harga makanan tersebut di kedai amat tinggi.

Di situ, roti seberat 250 gram dijual pada harga 1.25 lira (37 sen), berbanding roti di kedai lain yang bermula dengan harga 2.50 lira (70 sen).

“Semua barang mahal sekarang. Daripada ramuan makanan sehingga roti, daripada baju sehingga stoking,” ujarnya.

EKORAN kenaikan harga roti, peniaga bertindak menyiarkan harga ramuan-ramuan membuat roti sebelum dan selepas bagi menjelaskan kenaikan harga roti itu.-TWITTER

Itulah antara keluhan rakyat Turki pada masa ini. Masalah itu berlaku kerana mata wang Turki iaitu lira telah merosot sebanyak 45 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini.

Menurut Reuters, setakat ini, mata wang lira berprestasi paling buruk berbanding mata wang lain dan kejatuhan terburuk lira dicatatkan pada bulan lalu dianggap paling teruk.

Sebuah kedai roti di bandar Izmir meletakkan papan tanda yang menerangkan harga lebih tinggi dengan menyenaraikan kenaikan kos ramuan seperti tepung, minyak dan bijan sebelum meninggalkan pesanan, ‘Semoga Tuhan bersama kita’.

Para analisis percaya, kejatuhan lira berpunca daripada ‘eksperimen’ ekonomi pramatang oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang telah memerintah negara itu hampir dua dekad.

Walaupun lira mengalami kemerosotan, Erdogan setakat ini kelihatan tidak terganggu dengan masalah berkenaan.

Biarpun penurunan lira mencecah paras terendah, tetapi pemimpin utama Turki itu masih mengekalkan pendekatannya iaitu ‘perang ekonomi sara diri’ yang disokong oleh kadar faedah rendah.

Keputusan Erdogan untuk mengekalkan pendekatan itu turut mendapat kritikan kerana berisiko menaikkan inflasi, selain meningkatkan kadar pengangguran serta tahap kemiskinan rakyat.

Kejatuhan lira dikatakan berlaku kerana dasar ekonomi negara tersebut yang di luar kelaziman dengan mengekalkan kadar faedah rendah bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan potensi eksport dengan mata wang yang kompetitif.

Namun, bagi kebanyakan ahli ekonomi, jika inflasi meningkat, cara untuk mengawalnya adalah dengan menaikan kadar faedah.

ERDOGAN

Bagaimanapun, bagi Erdogan, beliau melihat kadar faedah sebagai kejahatan yang menjadikan orang kaya menjadi semakin kaya dan yang miskin bertambah susah.

Inflasi tahunan telah melonjak melebihi 21 peratus di Turki hingga menyebabkan harga barangan asas melambung tinggi di negara itu.

Mata wang Turki telah menjadi sangat tidak menentu sehingga harga barangan berubah setiap hari.

Dalam pada itu, inflasi meningkat di seluruh dunia dan bank pusat ‘bercakap’ tentang kenaikan kadar faedah.

Bagaimanapun, tidak di Turki, kerana Erdogan percaya, akhirnya inflasi akan jatuh juga suatu ketika nanti.

Dua tahun lalu, beliau telah memecat tiga presiden bank pusat.

Beberapa minggu lalu, Erdogan juga telah menggantikan menteri kewangannya dan lira terus jatuh.

Malah, baru-baru ini, Menteri Kewangan Turki, Lutfi Elvan sendiri meletak jawatan di tengah-tengah kejatuhan mendadak mata wang lira.

Perletakan jawatannya diganti bekas teknorat iaitu Nureddin Nebati yang membuat pembelaan awam sepenuhnya terhadap dasar Erdogan untuk mengurangkan kadar faedah walaupun inflasi meningkat.

Nebati yang berkhidmat selama tiga tahun sebagai timbalan menteri kewangan sebelum perlantikannya berkata, Turki telah bertahun-tahun cuba melaksanakan dasar kadar faedah rendah, tetapi sentiasa berhadapan dengan tentangan daripada pelbagai pihak.

“Kali ini, kami bertekad untuk melaksanakannya. Tiada masalah dengan mengekalkan kadar faedah rendah dalam keadaan pasaran semasa,” tulisnya di Twitter.

Ekonomi Turki sangat bergantung kepada import untuk menghasilkan barangan daripada makanan sehinggalah tekstil.

EKORAN nilai lira semakin merosot, rakyat Turki mengadakan bantahan, mendesak sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasinya.

Oleh itu, kenaikan nilai dolar berbanding lira mempunyai kesan langsung ke atas harga produk pengguna.

Sebagai contoh, tomato merupakan bahan penting dalam masakan di Turki, tetapi harganya telah naik sebanyak 75 peratus sejak Ogos lalu berbanding tahun sebelumnya.

Dalam pada itu, parti pembangkang telah menggesa pilihan raya diadakan untuk mengatasi masalah berkenaan.

Apabila lira merosot sebanyak 18 peratus pada November lalu, bantahan oleh rakyat telah diadakan dan ramai yang ditangkap pihak berkuasa.

Paling ketara, luahan rasa tidak puas hati adalah dalam kalangan generasi muda Turki dan mereka meluahkannya di media sosial seperti Twitter, TikToK dan YouTube.

“Saya tidak gembira dengan kerajaan ini sama sekali.

“Saya tidak dapat melihat masa depan untuk diri saya sendiri di negara ini,” kata seorang anak muda di saluran YouTube.

Pada masa sama, satu daripada lima orang muda di Turki tidak bekerja.

Generasi muda ini juga bersedia untuk memainkan peranan penting dalam politik di Turki yang diperintah oleh Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinan Erdogan sejak tahun 2002.

Hampir sembilan juta rakyat Turki yang dilahirkan pada akhir 1990-an akan layak untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang iaitu 2023 dan itu boleh menimbulkan masalah kepada AKP.

Namun begitu, walaupun berhadapan dengan situasi sedemikian, segelintir warga negara itu masih menaruh harapan bahawa model ekonomi baharu yang dilaksanakan Erdogan pada masa akan datang akan menyelamatkan lira Turki.

Di tengah-tengah ketidakpastian itu, pakar ekonomi, Arda Tunca berkata, mereka tidak dapat menduga apa yang akan berlaku di kemudian hari.

“Ini adalah pertama kali kami menerapkan model yang benar-benar sepenuhnya di luar teori ekonomi.

“Walaupun sekarang ada krisis, kita masih tidak tahu apa yang akan berlaku nanti,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI