JAKARTA – Hospital Darurat Covid-19 (RSDC) Wisma Atlet di Jakarta dikuarantin sepenuhnya susulan pengesanan kes pertama melibatkan varian Omicron di Indonesia, 15 Disember lepas, lapor laman berita Kompas hari ini.
Penyelaras Perhubungan Awam RSDC, Kolonel Mintoro Sumego berkata, meskipun keseluruhan bangunan telah dikuarantin, pihaknya masih mempertimbangkan untuk menerima pesakit Covid-19 di bawah syarat-syarat ketat.
“Kami masih merawat pesakit, namun ada syarat tertentu yang mengehadkan urusan keluar dan masuk.
“Kami akan menyesuaikan peraturan dengan lebih terperinci kerana dibimbangi terdapat pesakit baharu yang positif Covid-19,” katanya.
Tambah Mintoro, perintah kuarantin tersebut bermula semalam sehingga tujuh atau 10 hari akan datang.
Ini bermaksud, sepanjang tempoh itu, para pesakit di hospital RSDC Wisma Atlet yang sudah sembuh tidak akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing dan perlu menunggu sehingga berakhirnya perintah itu.
“Kami akan terus melihat perkembangan situasi semasa Covid-19 kerana arahan tersebut (kuarantin) adalah daripada pasukan petugas khas Covid-19 Indonesia,” ujarnya.
Selain kuarantin, pengurusan Wisma Atlet turut melakukan pengesanan kontak dan ujian saringan ke atas semua petugas kesihatan serta pesakit.
Indonesia mencatatkan kes pertama Covid-19 melibatkan varian Omicron yang dikesan terhadap seorang pekerja pembersihan yang bertugas di RSDC Wisma Atlet. – AGENSI