PETALING JAYA – Grab Malaysia baru-baru ini memperkenalkan Grab Lejen, inisiatif yang julung kali diadakan bagi meraikan rakan-rakan pemandu dan penghantarnya yang selama ini terbukti menjadi gagasan mantap dalam memastikan kesejahteraan masyarakat.
Ia bertujuan memperakui kisah perjuangan komuniti Grab yang telah berhempas pulas menghulur khidmat bakti sebagai petugas barisan hadapan bagi memanfaatkan warga Malaysia di samping memperkasa punca pencarian dengan pelbagai manfaat tambahan.
Pengarah Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, rakan-rakan pemandu dan penghantar Grab telah membuktikan walaupun tahun ini cukup getir, semua cabaran dan dugaan dihadapi dapat diatasi berkat kerjasama sebagai satu bangsa dan negara.
“Kami berharap inisiatif ini, yang bakal menjadi acara tahunan menjadi wadah terbaik untuk kami meneruskan usaha mengiktiraf jasa baik rakan Grab di atas khidmat serta keprihatinan mereka membantu warga Malaysia.
“Grab turut berhasrat meningkatkan sokongan disediakan supaya dapat memenuhi pelbagai keperluan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Cerita kehidupan
Grab Lejen adalah kempen penghargaan tahunan yang dijalankan selama sebulan bagi berkongsi kisah unik rakan pemandu dan penghantar Grab sehari-hari dalam menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai.
Memulakan kempen tersebut, Grab melancarkan filem pendek berjudul Grab Lejen Lahir Dari Kesungguhan di saluran YouTube yang menayangkan kompilasi kisah-kisah hebat yang dialami komuniti Grab sepanjang tahun ini.
Superapp terkemuka itu turut menjalin kerjasama dengan kartunis ulung, Ujang untuk penghasilan siri komik berilhamkan kisah-kisah benar yang dikongsi secara meluas dalam kalangan warga Malaysia mengenai rakan pemandu dan penghantar Grab yang menabur bakti melangkaui skop tugasan sebenar masing-masing.
Penceritaan komik ini akan dibawa langsung menerusi acara livestream mingguan sepanjang bulan ini dan turut memaparkan rakan pemandu dan penghantar yang menerima ganjaran eksklusif daripada Grab sebagai tanda penghargaan.
Ganjaran eksklusif GrabBenefits
Sebagai penghargaan tambahan buat rakan kongsi yang menunjukkan teladan dan khidmat terbaik, Grab turut menawarkan ganjaran eksklusif, GrabBenefits yang dipilih berdasarkan respons rakan pemandu dan penghantar termasuk rebat petrol, bantuan penyelenggaraan kenderaan dan liputan penjagaan kesihatan.
Program itu memperkasa kehidupan rakan pemandu dan penghantar menerusi tawaran manfaat, diskaun dan program kesetiaan memboleh peserta memaksimum pendapatan, menjimatkan perbelanjaan harian serta menyediakan perlindungan ketika bertugas.
GrabBenefits mengandungi tiga kategori utama iaitu Perlindungan, termasuk penyediaan GrabInsure yang menyediakan perlindungan insurans berkaitan pekerjaan; Simpanan meliputi rebat untuk petrol dan penyelenggaraan kenderaan melalui panel rakan kongsi Grab di seluruh negara; dan Akademi yang menyediakan kursus peningkatan kemahiran, pengetahuan digital dan kewangan.
Menurut Rashid, sebagai pengupaya teknologi tempatan, pihaknya ingin memastikan warga Malaysia mendapat akses mudah untuk menyara kehidupan.
“Pada masa sama, kami juga menyedia inisiatif untuk memelihara kebajikan mereka, meliputi penjimatan dan perlindungan di atas jalan raya menerusi penyediaan insurans sehinggalah kepada kehidupan berkualiti dan daya tahan kewangan.
“Pelancaran Grab Lejen dan penambah baikan platform GrabBenefits adalah komitmen kami untuk membalas jasa komuniti rakan pemandu dan penghantar dengan memenuhi keperluan dan memberi penghargaan kepada mereka,” jelasnya.
Sementara itu, bagi seorang rakan penghantar yang berstatus orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu, Rizuam Abd. Karim, 31, ekosistem ekonomi gig yang berasaskan teknologi komunikasi terkini seperti yang ditawarkan Grab menyediakan peluang buat golongan sepertinya untuk bekerja mencari rezeki yang halal.
Katanya kepada Kosmo! menerusi mesej di aplikasi Whats App, cabaran terbesar baginya sejak bekerja sebagai penghantar makanan selama setahun bukanlah masalah komunikasi, sebaliknya untuk mencari rumah penerima.
“Saya tahu saya OKU pekak bisu susah untuk dapat pekerjaan, jadi saya ambil peluang menjadi rider GrabFood.
“Cabaran paling sukar bagi saya ialah apabila tidak jumpa rumah pelanggan, ia banyak membazirkan masa.
“Dari segi komunikasi pula saya biasanya tidak berdepan masalah sebab ada kemudahan chat atau mesej pesanan ringkas (SMS), walaupun pernah juga saya berdepan situasi pelanggan mendiamkan diri dan tidak memberikan respon,” katanya yang memberikan perkhidmatan di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Gong Badak dan Bukit Payung. – K! ONLINE