KUALA LUMPUR – Tahun 2022 diharapkan bakal menjadi tahun pemulihan ekonomi dan sosial daripada pandemik, dengan Jabatan Perangkaan mengunjurkan Belanjawan 2022 yang bercirikan pengembangan dijangka akan mengurangkan tekanan ekonomi, seterusnya memacu pertumbuhan.
Bagi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), tahun depan disasarkan menjadi fasa pertumbuhan bagi dua jenama kendaliannya, iaitu jenama kopi global, Gloria Jean’s Coffees (GJC) serta jenama hotdog milik penuh Pernas, 1901 yang sebelum ini pernah popular sekitar awal tahun 2000.
Tambahan lagi selepas strategi penjenamaan semula GJC dan comeback untuk 1901, kedua-duanya dijadualkan pada awal 2020, sedikit terencat akibat Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pernas, Mohd. Hilaluddin Abd. Shukor, pihaknya memiliki banyak perancangan untuk GJC dan 1901, antaranya termasuk melantik sub-master francais di setiap negeri bagi mempercepatkan lagi pertumbuhannya.
“Untuk GJC, kami merancang untuk membuka 16 cawangan baharu di Malaysia tahun depan, daripada 42 buat outlet sedia ada.
“Manakala bagi 1901, sasarannya adalah lebih besar iaitu membuka sekitar tujuh cawangan bagi setiap 11 negeri di Semenanjung, berbanding hanya 21 cawangan buat masa ini,” katanya dalam sesi bersama media yang diadakan di ibu pejabat Pernas, di sini baru-baru ini.
Peluang perniagaan
Mohd. Hilaluddin menjelaskan, GJC yang berpengkalan di Queensland, Australia telah membuka lebih 890 cawangan di lebih 43 negara, yang mana Malaysia merupakan antara lima negara pasaran utama GJC yang memiliki lebih daripada 20 cawangan.
Katanya, antara pembaharuan yang dibawa GJC baru-baru ini ialah penjenamaan semula global pada 2020 bertujuan memberi imej baharu yang lebih segar, manakala penggunaan warna terkini iaitu oren, putih dan hitam secara kebetulan selari dengan imej Pernas.
“Kami memegang hak francaisi induk GJC di Malaysia, Brunei serta Myanmar dan untuk tahun hadapan, kami bercadang memperkenalkan konsep kedai baharu buat GJC untuk turut menyediakan perkhidmatan pandu lalu bermula di stesen minyak sekitar Lembah Klang.
“Antara kekuatan jenama ini ialah dari segi kualiti kopi disediakan yang kalau bukan lebih baik, adalah setanding dengan jenama terkemuka lain dan pada masa sama, masih ditawarkan pada harga berpatutan bagi memberi lebih nilai buat pelanggan.
“Pakej francais yang ditawarkan untuk GJC kini bermula dari RM250,000 hingga RM770,000,” ujarnya.
Mengulas mengenai 1901, Mohd. Hilaluddin memberitahu jenama itu kini kembali membuat kemunculan semula dengan penawaran 14 pilihan menu yang menepati cita rasa tempatan, sambil masih mengekalkan masakan secara kukus seperti sebelum ini yang pernah membuatkannya menjadi kegemaran ramai.
“1901 buat masa ini merupakan jenama pra-francais dan ia memiliki daya tarikan unik, antaranya memiliki margin keuntungan menarik sekitar 20 hingga 25 peratus untuk menarik usahawan belia dengan pakej permulaan berpatutan bermula dari RM45,000.
“Bagi usahawan yang berminat menyertai kedua-dua jenama ini, kami ada menyediakan pembiayaan sehingga 70 peratus daripada modal permulaan.
“Sementara bagi peserta projek pembangunan usahawan, Be Your Own Boss (BYOB) khas untuk belia dan wanita yang mula-mula diperkenalkan Pernas pada awal tahun ini, mereka ditawarkan pembiayaan sehingga 90 peratus pada kadar faedah 3.75 peratus setahun,” ujarnya.
Bangunkan usahawan francais
Mohd. Hilaluddin menegaskan, pertumbuhan kedua-dua jenama tersebut penting buat Pernas dan membuktikan organisasi itu bukan sekadar membimbing dan membantu usahawan mengembangkan perniagaan dalam bidang francais, malah ia sendiri mampu menguruskan jenama-jenama francais di bawahnya dengan baik.
Pada masa yang sama, Pernas berpegang teguh pada mandatnya sebagai peneraju pembangunan perniagaan francais, dengan cara menyediakan pembiayaan serta nasihat dan bimbingan buat usahawan.
“Menerusi program seperti BYOB, kami cuba mencipta keseluruhan rantaian nilai dalam industri ini, dari membentuk modal insan menjadi usahawan francais, sehinggalah menyediakan pembiayaan, bimbingan malah jenama dan produk untuk mereka menjalankan perniagaan sendiri.
“Dasar Keusahawanan Nasional 2030 ada menggariskan keperluan untuk menukar naratif supaya usahawan menjadi kerjaya pilihan pertama, bukan kedua atau ketiga dan jelas usahawan kini merupakan satu profesion yang baik, terutamanya sekiranya dilihat dari segi pulangan.
“Untuk mencipta kesedaran ini bukan mudah kerana ia melibatkan perubahan minda, namun Pernas ada menyediakan dua keperluan utama untuk menjadi usahawan, iaitu pembiayaan dan sokongan khidmat nasihat,” katanya. – K! ONLINE