JOHOR BAHRU – Seorang Pengarah Urusan sebuah syarikat hartanah di Kluang kerugian RM200,000 selepas diperdaya sindiket yang menyamar sebagai syarikat pembekal kepada perusahaannya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor, Asisten Superintendan Amran Jusin berkata, pengarah urusan syarikat terbabit yang berusia 74 tahun tampil membuat laporan polis semalam mendakwa sudah ditipu.
“Menurut mangsa pada 3 Ogos, pegawai syarikatnya menerima e-mel daripada pihak dipercayai pembekal kepada syarikat mangsa yang mengarahkan untuk mengubah akaun bank bagi pembayaran pembekalan yang dibuat.
“Tanpa meragui e-mel yang diterima, pada 10 September lalu mangsa meluluskan dan mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun bank yang diarahkan walaupun dibuat ke nama dan akaun yang berbeza ,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pada 1 Disember lalu, mangsa dimaklumkan pengurus kewangan syarikatnya yang menyatakan bahawa pembekal masih belum menerima pembayaran daripada syarikat miliknya. – K! ONLINE.