PETALING JAYA – “Dah setahun lampu merah pun ‘sondol’ lagi, kesian rider tak pasal-pasal jadi mangsa.”
Itu antara komen pengguna laman Facebook apabila melihat klip video yang memaparkan tindakan sebuah kereta melanggar lampu isyarat merah sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal
Kejadian tersebut dipercayai berlaku di sebuah persimpangan lampu isyarat di Kota Bharu, Kelantan kira-kira pukul 3.28 petang semalam.
Klip video berdurasi satu minit 14 saat yang dikongsi di laman Facebook Yu KH itu memaparkan tindakan sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu seorang wanita telah melanggar lampu isyarat merah.
Susulan itu, seorang penunggang motosikal dipercayai rider (penghantar) gagal mengelak kereta tersebut sebelum melanggar bahagian sisi kanan kenderaan itu.
Ekoran kejadian itu, kelihatan rider berkenaan melambung dan dipercayai mengalami kecederaan sebelum dia dibantu oleh beberapa pengguna jalan raya yang lain.
Perkongsian klip video itu telah mengundang kemarahan orang ramai yang rata-ratanya tidak berpuas hati dengan tindakan wanita terbabit melanggar lampu isyarat merah.
“Dah ‘setahun’ lampu isyarat bertukar merah pun masih lagi nak menyondol, kesian rider tak pasal-pasal jadi mangsa. Pastikan rider berkenaan buat laporan polis, bukti dah ada,”tulis Hasan Husin.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ayah D.
“Pihak berkuasa perlu adakan operasi bagi mengesan pemandu yang suka melanggar lampu merah. Banyak sangat kemalangan berlaku gara-gara segelintir pemandu seperti ini.-K! ONLINE