KUALA LUMPUR – Lima lelaki warga asing antara 14 orang ditahan atas kesalahan mengutip caj parkir kereta secara haram menerusi Ops Parkir Haram dijalankan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di sini pada Rabu dan Khamis.
Ketua JSPT Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, operasi itu dijalankan dengan kekuatan 11 orang pegawai serta anggota bermula Rabu di sekitar Bukit Bintang, Solaris dan Mont Kiara di sini semalam.
“Sembilan orang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing ditahan kerana melakukan kesalahan mengutip caj parkir kereta secara haram serta merampas wang tunai yang diambil daripada pemandu-pemandu secara paksaan.
“Kesemua tangkapan yang berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun itu telah di bawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar dan akan dituduh di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, jika sabit kesalahan akan dihukum mengikut Seksyen 119 (2) APJ 1987,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, JSPT akan terus mempertingkatkan operasi mencegah dan seterusnya membanteras sepenuhnya aktiviti parkir haram di sekitar ibu kota yang menjadi ketidakselesaan kepada masyarakat.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik (JSPT) Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999, hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – K! ONLINE