fbpx

Bau busuk macam tandas tersumbat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABU BAKAR menunjukkan keadaan Sungai Lumut Kanan yang tercemar dengan sampah sarap dan minyak berhampiran Taman Desa Bayu di Seri Manjung, Lumut semalam.

LUMUT – “Malu saya apabila saudara mara datang ke rumah mengadu bau busuk, mereka bertanya sama ada ia berpunca daripada tandas rumah saya, sedang­kan bau itu sebenarnya datang dari sungai berhampiran.”

Demikian keluhan seorang penduduk di Taman Desa Bayu, Seri Manjung di sini, Abu Bakar Basir, 64, mengenai bau busuk yang menghantui hidup mereka yang sudah berlarutan kira-kira 20 tahun lalu.

Abu Bakar yang menetap di situ sejak 1994 berkata, bau busuk itu berpunca dari Sungai Lumut Kanan yang berhampiran taman perumahan mereka.

“Kadangkala bau itu terlalu busuk terutama ketika air sungai surut. Ia berpunca daripada sampah sarap yang dibawa setiap kali air pasang.

“Bukan itu sahaja, sungai tersebut juga berwarna hitam serta berminyak dipercayai akibat pencemaran yang tidak diketahui punca,” katanya kepada pemberita semalam.

Abu Bakar memberitahu, penduduk sebenarnya kerap mengadakan gotong-royong bersama Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), tetapi masalah itu tidak juga selesai.

Katanya, perangkap sampah juga ada dipasang oleh MPM, tetapi apabila air pasang, sampah kembali banyak.

“Setiap kali membuat aduan, tindakan dilakukan hanyalah mengadakan program gotong-royong,” ujarnya.

Abu Bakar yang juga Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Zon 9 Manjung yang melibatkan kira-kira 6,000 penduduk berkata, pokok-pokok liar yang membesar di sepanjang sungai itu juga dikhuatiri akan menjadi tempat pembiakan binatang berbisa se­perti ular.

Sementara itu, Yang Dipertua MPM, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, kerja penyelenggaraan sungai tersebut adalah di bawah bidang kuasa JPS dan pihak tersebut juga telah maklum mengenai masalah tersebut.

Menurut beliau, MPM sering melakukan pembersihan di sungai tersebut dan turut meletakkan perangkap sampah.

“Kami mengutip sampah di sungai tersebut dua hari sekali tetapi kalau hujan lebat, kita akan pantau dan terus kutip jika keadaan memerlukan.

“Kebanyakan sampah dipercayai dibuang individu tertentu terus ke sungai,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI