GUA MUSANG- Lima buah kampung di daerah ini dinaiki air banjir susulan hujan lebat berterusan sejak semalam sehingga paras air sungai naik dan melimpah ke kawasan jalan kampung berdekatan.
Keadaan itu menyebabkan seramai 102 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di satu pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Felda Chiku 7 pada pukul 8.55 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, sebanyak enam jalan perhubungan turut terjejas apabila ditenggelami air sungai.
Katanya, antara jalan berkenaan termasuklah di Kampung Kerinting, Kampung Jeram Tekoh, Kampung Chalil, Paloh 2, Felda Chiku 7 dan jambatan Sungai Cindai.
“Kita berharap penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Galas, Sungai Lebir dan Sungai Nenggiri bersiap sedia berpindah sekiranya kawasan mereka dinaiki air.
“Setakat ini hujan masih lagi turun dan paras air sungai utama juga menunjukkan peningkatan,” katanya. – K! ONLINE.