fbpx

Rachel Zegler, sebuah filem nama mendunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RACHEL ZEGLER

TIGA tahun lalu, sebuah video menampilkan wanita muda bernama Rachel Zegler mendendangkan lagu runut bunyi filem A Star Is Born, berjudul Shallow nyanyian asal Lady Gaga dan Bradley Cooper mencuri perhatian dunia apabila ditonton lebih tiga juta kali dalam YouTube.

Siapa sangka, selepas tiga tahun, momen yang membuka mata dunia tersebut kemudiannya membawa Zegler ke dalam debut dengan cukup sempurna di Hollywood.

Dia berjaya menewaskan 30,000 calon uji bakat filem muzikal West Side Story dan menggenggam watak utama bernama Maria.

Ujar pemilik nama lengkap Rachel Anne Zegler itu, sesi uji bakat watak Maria sangat panjang iaitu selama setahun.

Dia mengalami ‘penderaan’ untuk proses yang sangat panjang, terutama daripada sang pengarah, Steven Spielberg.

DISEBABKAN lagu Shallow dendangan asal Lady Gaga dan Bradley Cooper, nama Rachel Zegler kian mengharum di persada seni dunia

Tewaskan 30,000 calon lain

“Proses uji bakat saya agak panjang iaitu setahun bermula dari 25 Januari 2018 sampai 9 Januari 2019. Saya menyahut panggilan ‘casting’ menerusi Twitter terhadap Cindy Tolan, pengarah pemilihan pelakon naskhah berkenaan.

“Ketika itu, mereka mencari empat pelakon untuk mengisi empat watak utama dalam West Side Story dan mereka mencari gadis dalam lingkungan usia 15 hingga 25 tahun untuk watak Maria.

“Tanpa berfikir panjang, saya pun cuba menghantar video uji bakat. Saya sepertinya didera selama setahun oleh Steven Spielberg. Itu yang dia cakap, tapi saya tak pernah fikir apa yang dia buat satu penderaan.

“Dia (Spielberg) cakap dia sudah menyusahkan usia 17 tahun saya tetapi syukur saya dipilih melakonkan watak Maria dan saya tiada rugutan tentang semua itu,” tutur Zegler yang kini genap usia 20 tahun dalam sebuah wawancara bersama Ekstra TV.

Disebabkan keberkesanan watak Maria, Zegler kini disebut-sebut sebagai antara pelakon yang bakal menerima pencalonan Pelakon Wanita Terbaik pada acara berprestij, Anugerah Akademi tahun hadapan.

PENYANYI dan pelakon ternama global, Lady Gaga merupakan inspirasi Rachel Zegler dalam muzik dan seni persembahan.

Oscars ‘buzz’

“Saya terpaku apabila orang bercakap tentang kemungkinan menerima pencalonan Oscars. Terus tangisan gembira saya mengalir, saya kena telefon agensi bakat saya! (ketawa).

“Saya tak tahu nak memberi reaksi bagaimana. Rasa macam salah satu ‘meme’ Mr. Crab (karakter animasi Spongebob). Itu yang saya rasa sekarang ini apabila semua orang mula memberi perhatian.

“Buat sesuatu yang mungkin akan menjadi pertimbangan. Tak semua orang dapat merasai nikmat itu,” luah Rachel yang sejujurnya buat pertama kali muncul di layar perak menerusi naskhah West Side Story.

Berpeluang bekerja dengan pengarah prolifik yang telah menterjemah banyak filem-filem hebat seperti Saving Private Ryan, Jurassic Park dan The Post bagaikan mimpi paling luar biasa buat Zegler.

WATAK Maria dalam filem West Side Story membawa tuah buat pendatang baharu, Rachel Zegler apabila disebut-sebut sebagai antara pesaing dalam Anugerah Akademi bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik.

“Satu pengalaman yang amat luar biasa. Spielberg bukan sahaja seorang mentor tetapi seorang rakan yang baik.

“Dia selalu beri saya tengok filem-filem lama, semua filem yang pernah dijayakan oleh Carole Lombard,” katanya ketika rancangan bual bicara, Good Morning America.

Diminta berbicara tentang penghormatan menyanyikan semula lagu-lagu dalam West Side Story yang ditulis komposer legenda, mendiang Stephen Sondheim, yang meninggal dunia hujung November lalu, Zegler hilang kata-kata. Dia menyanjung tinggi figura itu.

“Satu perkara yang sangat hebat apabila mengetahui Sondheim tulis lagu-lagu dalam West Side Story ketika berusia 24 tahun dan bertahan hingga 64 tahun.

“West Side Story merupakan ‘gig’ profesional pertama saya dan bekerja menyanyikan karya-karyanya memang satu perhormatan buat saya.

“Kita semua sangat merinduinya,” luah Zegler.

SELEPAS West Side Story, Rachel Zegler akan terus menghipnosis Hollywood dengan filem-filem seperti Shazam! Fury of the Gods dan Snow White and the Seven Dwarfs.

Lady Gaga inspirasi

Dalam satu acara tayangan perdana filem West Side Story, Rachel mendedahkan, dia merupakan peminat fanatik Lady Gaga. Kemungkinan besar juga, dia akan bertarung dengan idolanya merebut Oscars, sekali gus menjadi sesuatu yang tidak pernah menjangkau dalam fikirannya.

“Saya saksi yang Gaga telah menyelamatkan hidup ramai orang melalui muzik dan kejujuran yang telah dilakukan dalam apa jua perkara.

“Menjadi satu perkara yang sangat menginspirasikan melihat transisinya sebagai seorang pelakon yang hebat.

“Gaga mampu buat segala-galanya. Dia juga telah memberi inspirasi kepada generasi akan datang. Saya mendapat inspirasi daripadanya. Ketika berusia sembilan tahun lagi, Born This Way merupakan album kegemaran saya.

Bintang muda yang bakal muncul dengan dua filem besar iaitu Shazam! Fury of the Gods dan Snow White and the Seven Dwarfs memaklumkan, dia sangat terhutang budi dengan Gaga.

“Dia penyebab saya di tahap sekarang, dia penyebab saya percaya diri dan dia juga alasan mengapa saya suka berlakon dan buat persembahan,” tutur Zegler.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI