BAU-Meskipun berbaki dua hari sahaja lagi, namun calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dlihat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika berkempen secara bersemuka.
Menurut calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, pematuhan SOP itu terus dilaksanakan bagi memastikan kelancaran PRN khususnya hari pengundian Sabtu ini.
“Ketika menyantuni pengundi di rumah-rumah atau mengadakan ceramah di dewan, SOP memang jadi keutamaan kerana tidak mahu ada penularan kes disebabkan aktiviti berkenaan.
“Seperti biasa, kalau buat program di dewan, kita akan periksa suhu, semak MySejahtera dan jaga jarak sosial. Terima kasih, semua pengundi mematuhinya,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, kunjungan ke rumah penduduk sekitar juga dibuat dalam masa singkat iaitu sekitar 30 minit sahaja.
“Biasanya kita akan berjumpa pengundi di rumah ketua kempen dengan kehadiran sekitar 10 ke 20 orang.
“Kita hadkan jumlah kehadiran dengan memastikan hanya kumpulan kecil menyertainya, selepas habis satu rumah, kita bergerak ke rumah lain pula,” jelasnya.
Sabtu ini, seramai 1,213,769 pengundi akan membuang undi melibatkan 82 kerusi DUN dan 10 parti politik bertanding. -K! ONLINE