fbpx

Pesara polis mengaku tidak salah tembak kucing jantan sampai mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SELAYANG – Seorang pesara polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan iaitu melakukan khianat dengan menembak seekor kucing jantan sehingga mati tahun lalu.

Tertuduh Zainol Abidin Md. Zain, 64, membuat pengakuan tidak bersalah tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan.

Mengikut pertuduhan, Zainol Abidin didakwa dengan sengaja melakukan khianat dengan membunuh seekor kucing dengan cara menembak menggunakan senjata miliknya iaitu selaras senapang patah.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum hingga tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan kebun sebuah kampung di Kuang di sini pukul 6.40 petang pada 1 Julai 2020.

Dalam pada itu, tertuduh juga turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melepaskan tembakan di tempat awam yang tidak dijadikan sebagai padang tembak tanpa sebarang sebab yang dibenarkan oleh undang-undang dengan menggunakan senjata sama yang didakwa mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 (Akta 206) yang boleh dihukum dibawah Seksyen 43 akta sama pada waktu dan tempat sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Namun tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) M. Mariappan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya adalah seorang pesara dan menanggung isteri serta tujuh anak.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tarikh 24 Februari 2022 ditetapkan untuk sebutan kes. – K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI