fbpx

Pesara lumpuh alami komplikasi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairudin (dua dari kanan) menziarahi Zahari yang terlantar di Kampung Dusun Hilir, Layang-Layang Kiri, Parit baru-baru ini.

PARIT – Seorang pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang lumpuh selama 15 tahun kini terpaksa berdepan satu lagi dugaan apabila mengalami komplikasi pada organ dalamannya akibat jangkitan Covid-19.

Walaupun disahkan sembuh, namun Zahari Mohamed Noh, 58, mengalami komplikasi serius melibatkan buah pinggang dan hatinya yang dijangkiti kuman.

Zahari lumpuh sebelah kanan anggota badan sejak diserang angin ahmar pada tahun 2006 dan kini segala keperluannya di­uruskan oleh anak perempua­nya, Nursheril Aniss.

Bagi kelangsungan hidup, pesara MBI itu bergantung kepada pencen ilat yang diterima sebanyak RM1,000 sebulan.

Menurut Nursheril Aniss, 30, bapanya kini hanya minum susu setiap empat jam sekali sebagai sumber makanan.

Katanya, wang pencen yang diterima pula kadangkala tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan, membeli susu, lampin dewasa dan tisu basah.

“Susu berharga RM87 setin dan setiap bulan bapa perlu enam hingga tujuh tin.

“Bapa juga perlu membuat rawatan susulan setiap dua ming­gu di Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Batu Gajah,” katanya di rumahnya di Kampung Dusun Hilir, Layang-Layang Kiri di sini baru-baru ini.

Terdahulu, Zahari menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah yang turut menyam­paikan sumbangan peribadi.

Turut menghulurkan sumbangan berbentuk susu, lampin dewasa dan barangan makanan ialah Pengurus Econsave Cawangan Jelapang, Shah Effendy Rosman.

Hadir sama Pegawai Perhubungan Awam Majlis MBI, Syahrizal Azmi.

Dalam lawatan itu, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin telah bersetuju me­nyumbangkan sebuah katil untuk keselesaan Zahari.

Nursheril Aniss hanya suri rumah yang mempunyai empat anak yang masih bersekolah, manakala suaminya pula bekerja di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan kecil.

“Pendapatan kami hanya cukup-cukup, tinggal pun di rumah kampung dengan sewa RM100 sebulan.

“Sekarang, bapa saya mengalami komplikasi pada organ dalamannya akibat jangkitan Covid-19. Dia juga perlukan rawatan susulan,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 108010493718 atas nama Zahari Mohamed Noh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI