KLUANG – Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini dilaporkan trauma selepas dibuli pelajar senior dalam kejadian yang berlaku pada 9 Disember lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani, mangsa yang mengalami sakit dada akibat kejadian sudah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di sini.
“Pada 6.18 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima satu laporan polis berkaitan seorang pelajar sebuah sekolah menengah yang dibuli oleh pelajar lebih senior.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca dari seorang pelajar senior yang tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli.
“Tindakan susulan dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang untuk mengesan suspek yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.-K! ONLINE