MANCHESTER – Pemain pertahanan Manchester United, Victor Lindelof terpaksa menggunakan alat pemantau degupan jantung selepas berdepan masalah kesukaran bernafas.
Lindelof terpaksa dikeluarkan pada aksi separuh masa kedua ketika menentang Norwich pada Sabtu lalu.
Isteri Lindelof, Maja Nilsson dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam media sosial mengakui bahawa insiden itu sangat mencemaskannya dan ahli keluarga yang lain.
“Ia adalah suatu yang menakutkan apabila menyaksikan situasi itu tetapi kami menjadi lega selepas Lindelof segera menghubungi untuk menyatakan keadaannya.
“Kelmarin, dia telah menjalani banyak ujian dan masih menggunakan alat pemantau degupan jantung untuk tempoh dua hari bagi memastikan semuanya berjalan dengan baik.
“Sudah tentu ia bukan perkara yang membuatkan kami selesa terutama ketika saya tidak berada di sana ketika kejadian itu dan terpaksa menunggu untuk tempoh yang lama sebelum dihubungi oleh pihak kelab,” jelasnya.
Dalam pada itu, United dalam kenyataan mengakui situasi Lindelof tidak mempunyai kaitan dengan penularan Covid-19 yang sedang melanda pasukan itu ketika ini sehingga menyebabkan aksi menentang Brentford awal pagi semalam ditangguhkan.
“Victor kini berada dalam siri pemantauan rapi. Bagaimanapun, dia semakin pulih daripada masalah pernafasan yang dialami ketika berdepan Norwich.
“Berdasarkan beberapa petunjuk, situasi yang dialami Lindelof sama sekali tidak mempunyai kaitan dengan masalah penularan Covid-19,” menurut kenyataan itu. – AGENSI