SEBUT sahaja Kuala Perlis, sudah pasti ramai membayangkan pekan berhampiran pesisir pantai tersebut sebagai ‘syurga’ makanan laut yang tidak asing lagi dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong luar.
Banyak kedai dan restoran menawarkan pelbagai hidangan makanan laut segar yang diperoleh dari nelayan di jeti-jeti berhampiran setiap hari.
Salah satu destinasi untuk menjamu selera yang menjadi pilihan ramai ialah restoran Asputra Ikan Bakar yang terletak di Jalan Kuala Perlis.
Restoran tersebut menawarkan pelbagai set hidangan termasuk set ikan siakap serendah RM35 untuk dua orang.
Pengurusnya, Mohd. Shafiq Ismail, 32, berkata, berbeza dengan restoran-restoran ikan bakar lain di Kuala Perlis, Asputra Ikan Bakar yang beroperasi sejak 2017 memilih untuk menyediakan menu dalam set hidangan berbanding mempamerkan ikan dan makanan laut untuk pelanggan pilih.
Katanya, tujuan mereka berbuat demikian adalah supaya dapat menghidangkan makanan yang enak dan berkualiti dengan lebih cepat.
“Bagi set ikan siakap RM35, pelanggan boleh memilih jenis masakan sama ada dibakar, masam manis atau tiga rasa.
“Selain itu, mereka juga dapat pilihan sama ada dihidangkan bersama tomyam ayam atau gulai ikan temenung serta ulam dan air asam dengan dua pinggan nasi.
“Kami menawarkan dua jenis ikan di sini iaitu ikan siakap dan jenahak. Bagi set yang sama untuk ikan jenahak pula berharga RM40. Kami juga ada set lain untuk keluarga lebih besar yang mahukan lauk tambahan seperti sotong goreng tepung dan kerang bakar.
“Bergantung pada musim, kami menawarkan mentarang dan belangkas kepada pelanggan di sini, selain menu sedia ada,” katanya ketika ditemui di restoran itu baru-baru ini.
Mohd. Shafiq memberitahu, restoran yang diusahakan tiga sabahat iaitu Mohd. Abdul Hamid Ahmad, 32; Mohd Fahimie Hassan, 30, dan abangnya, Mohd. Hafirzi, 32, pada mulanya beroperasi di Medan Selera Laman Brasmana sebelum membuka cawangan di Jalan Kuala Perlis berhadapan stesen minyak Petronas pada 30 November 2019.
Menurutnya, konsep menyediakan menu berbentuk set memberi kesan positif kepada perniagaan mereka kerana mampu menjual kira-kira 400 set atau pun 400 ekor ikan setiap malam.
“Sebelum ini, kami juga meletakkan ikan di depan untuk pelanggan pilih, tetapi ia mengambil masa yang panjang sebelum makanan itu tersedia di atas meja.
“Sasaran masa yang diletakkan adalah antara 15-20 minit dari waktu pelanggan memesan makanan sehingga lauk pauk dihidangkan ke meja untuk dinikmati. Dengan cara ini, pelanggan tidak perlu menunggu lama dan kami juga dapat menerima lebih ramai pelanggan,” ujarnya.
Tambahnya, pelanggan juga tidak perlu risau atau terkejut dengan harga ikan dan makanan yang mereka pesan kerana semuanya telah ditulis pada menu.
Dalam pada itu, Mohd. Shafiq memberitahu, Asputra Ikan Bakar juga bercadang untuk membuka cawangan baharu di Sungai Petani, Kedah pada suku pertama tahun depan.
Selain restoran tersebut, Asputra Ikan Bakar juga mempunyai kios sotong goreng tepung di sekitar negeri ini dan juga beberapa lokasi di Kedah.