MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui sangat berbangga dengan aksi cemerlang dipamerkan oleh para pemainnya ketika mereka membelasah Leeds United 7-0 pada aksi awal pagi semalam.
Paling mencuri perhatian pengurus dari Sepanyol itu adalah persembahan pemain tengahnya, Kevin De Bruyne yang kembali menemui sentuhan apabila meledak dua gol untuk membantu pasukan itu mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut.
De Bruyne melalui prestasi yang tidak menentu musim ini selepas bergelut dengan jangkitan Covid-19 sehingga mengganggu tahap kecergasannya.
“Dia sangat mengagumkan, kami memerlukan khidmatnya. Dia adalah pemain yang sangat penting dalam pasukan ini.
“Kami kehilangan lima mata musim lalu menentang Leeds. Semua orang sedar betapa sukarnya setiap kali turun menentang pasukan seperti Leeds.
“Apabila anda berjaya meraih keputusan sebegini, sudah tentu sebabnya adalah para pemain yang berjaya mempamerkan aksi terbaik,” katanya.
Kemenangan itu juga menyaksikan Guardiola menjadi pengurus paling pantas meraih 500 gol bersama skuad kendaliannya iaitu selepas 207 perlawanan berbanding Jurgen Klopp (234) dan pengurus legenda Manchester United, Alex Ferguson (265).
Dalam pada itu, De Bruyne berharap dia mampu kembali mendapatkan prestasi lamanya dan mahu melupakan segala kesukaran yang dihadapi sebelum ini.
“Banyak perkara berlaku tahun ini, sehingga ada yang tidak dapat saya mengawalnya tetapi apa yang penting adalah bekerja keras dan cuba untuk kembali ke prestasi terbaik secepat mungkin,” jelasnya. – AGENSI