fbpx

Kilang pembuatan makanan disyaki buang sisa berbuih di Sungai Rinching

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air berbuih yang dikesan di Kampung Rinching Tengah, Semenyih semalam.

SHAH ALAM – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengesan pembuangan efluen berbuih disyaki dari kilang pembuatan makanan berhampiran Fasa 7 Kesuma Beranang berjaya mengelakkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih, semalam.

Insiden air berbuih yang berlaku di Kampung Rinching Tengah, Semenyih diketahui hasil aduan kira-kira pukul 8.45 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, berdasarkan siasatan awal LUAS mendapati terdapat kesan berbuih pada permukaan air anak Sungai Rinching yang merupakan anak Sungai Semenyih.

Katanya, hasil siasatan menyeluruh bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) kemudiannya menemukan sebuah kilang pembuatan makanan yang disyaki telah melepaskan efluen berbuih itu ke dalam longkang berhampiran.

“Tindakan pensampelan efluen di titik pelepasan akhir telah dijalankan pihak LUAS bersama pihak JAS untuk dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisa.

“LUAS turut mengambil beberapa sampel di lokasi berbeza iaitu di kawasan insiden pencemaran, aliran selepas premis kilang, dan juga di hulu aliran longkang sebelum kilang tersebut bagi tujuan sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau menambah walau bagaimanapun hasil pemantauan LUAS mendapati tiada aliran berbuih di kawasan hulu longkang berdekatan kilang tersebut.

Loy Sian menegaskan LUAS telah membuka kertas siasatan berdasarkan Seksyen 79 (1) Enakmen LUAS 1999 yang memperuntukkan denda sehingga RM1juta dan penjara tidak kurang tiga tahun.

“MPKj telah mengeluarkan kompaun kepada premis berkenaan di atas kesalahan melakukan pencemaran.

“Tindakan bersepadu ini telah mengelakkan risiko henti tugas operasi LRA dan seterusnya gangguan bekalan air kepada pengguna. Selain itu, setakat ini sebanyak 14 isu pencemaran (Kod Kuning) telah berjaya diatasi di Lembangan Sungai Langat yang berisiko kepada henti tugas LRA,” katanya. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI