PETALING JAYA – Kejujuran, kedewasaan dan keihkhalasan hati pasangan menerima dirinya seadanya membuatkan penyanyi Siti Saida tertarik dan tekad untuk kembali berumah tangga sekali gus bergelar isteri.
Menurut Siti Saida atau lebih mesra disapa Saida, meskipun baru sahaja lima bulan mengenali hati budi pasangannya, namun hatinya sudi menerima kedatangan Mohd. Nooraizal Rasip, 45, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidupnya.
“Ya dia masih bujang. Kehadirannya memberi cahaya dalam hidup saya. Dia menerima saya dan anak seadanya.
“Saya tertarik dengan kedewasaan, kejujuran dan keikhlasan hati dia. Usianya juga sudah molek untuk berumah tangga.
“Dia sendiri memikul tanggungjawab menjaga lima orang adik perempuannya. Itu juga yang buat saya yakin dia boleh menjaga saya dan anak-anak dengan baik,” katanya.
Tambah kakak kepada penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza itu, dia sudah berpisah dengan bekas suaminya sejak Mac lalu sejak berkahwin pada 2016.
“Memang saya sudah berpisah dengan bekas suami cuma memilih untuk tidak memberitahu mana-mana pihak. Saya anggap jodoh tak panjang antara kami.
“Saya percaya jodoh baru ini juga ketentuan dan takdir yang tertulis. Di saat sedikit demi sedikit hati tertutup, saya membukanya semula tanpa diduga,” ujar ibu kepada empat cahaya mata itu.
Terdahulu, bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam itu mengejutkan ramai pihak apabila mengesahkan sudah berkahwin buat kali ketiga pada 12 Disember lalu.
Malah pemilik nama sebenar Siti Norsaidah Tarudin, 45, turut memuat naik perkongsian gambar dan video majlis perkahwinan itu dalam laman Instagramnya sebelum dikongsi ramai.
Untuk rekod, Saida pernah mendirikan rumah tangga dengan suami pertama, Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996, namun berpisah pada 7 Oktober 2011.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nurunnyssa, Anas, Khalid dan Siti Nurul Mashitah.
Kemudian Saida berkahwin untuk kali kedua pada 2016 bersama ahli perniagaan, Hafiizh Che Mat dan tidak dikurniakan cahaya mata. – K! ONLINE