fbpx

Jangan layan provokasi Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHENG HOE (tengah) bercakap kepada anak-anak buahnya ketika menjalani sesi latihan menjelang aksi menentang Indonesia di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

KETUA jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyeru agar pasukan menguatkan mental dengan tidak melayan provokasi media Indonesia menjelang aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF Suzuki melibatkan kedua-dua pasukan di Stadium Nasional Singapura, Ahad ini.

Sebagai rekod, skuad ­Ha­rimau Malaya ketika ini dilihat sedikit tempang selepas ­momentum cemerlang pada dua perlawanan disekat dengan aksi mengecewakan apabila tewas 0-3 kepada Vietnam, Ahad lalu.

Kata Cheng Hoe, barisan ­pemain sudah melupakan kekecewaan yang lepas dan kini memberikan tumpuan penuh untuk bertemu Sang Garuda dan hanya kemenangan boleh membantu pasukan lolos ke peringkat separuh akhir.

“Kami sudah melakukan post-mortem pada aksi Vietnam lepas dan barisan pemain tahu di mana kesilapan mereka untuk diperbaiki sebelum mengharungi aksi bertemu Indonesia nanti.

“Meskipun masih berbaki empat hari sebelum saingan bermula, saya sedar perseteruan pasukan Malaysia dan Indonesia sentiasa hangat dengan adanya unsur provokasi khususnya daripada media mereka.

“Justeru, serius saya ingatkan kepada pemain agar kekal tenang dan tidak terpengaruh kerana situasi di luar padang adalah di luar bidang kuasa kita dan berikan fokus penuh pada sesi latihan,” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe mengesahkan tiga pemain yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini seperti Faisal Halim, Quentin Cheng dan Khairulazhan Khalid sudah menyertai sesi latihan penuh bersama pasukan semalam.

“Kita kini sudah menjalani latihan penuh hari ini (semalam) dengan penyertaan se­mula Quentin, Faisal dan Khairulazhan. Kemungkinan pagi esok (hari ini) giliran Dion Cools pula untuk melaporkan diri bersama pasukan.

“Sudah tentu kehadiran semua pemain ini memberi ruang dan peluang buat saya mengatur strategi terbaik bagi memastikan keputusan positif dapat dicapai pada aksi bertemu Indonesia nanti,” katanya.

Skuad negara yang mengutip enam mata selepas mengha­rungi tiga perlawanan meletakkan sasaran mara ke pentas final Piala AFF Suzuki kali ini sekali gus mengulangi pencapaian edisi 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI