fbpx

Isu buli perlu penyelesaian holistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Radzi menyampaikan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan 2021 kepada Noorizan Mohammed (dua kanan) pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Hotel Everly di sini, hari ini.-Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Penyelesaian kepada isu buli yang berlarutan sejak sekian lama perlu dilaksanakan menerusi pendekatan secara holistik serta tidak hanya tertumpu kepada satu-satu komponen iaitu hukuman semata-mata.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, sehubungan itu, aspek pelaporan, pemantauan, penghukuman dan penyedaran perlu diberi penekanan kerana jika hanya memfokuskan kepada satu komponenan, pendekatan secara menyeluruh tidak dapat dilaksanakan.

“Di dalam Parlimen saya ada sebutkan mengenai pelaporan dan ia sangat penting. Adakah pelaporan sedia ada ini mencukupi, adakah kita perlu melihat kepada sistem pelaporan baharu dan jika berlaku kes, bagaimana hendak dilaporkan.

“Begitu juga pemantauan di sekolah kerana selain menerima laporan, siapa nak pantau mereka di sekolah dan bagaimana pula keadaan pemantauan itu. Adakah kaedah pemantauan ini mencukupi?

“Kita sentiasa berbincang dengan agensi pusat bagi memperkukuhkan perjawatan warden di asrama untuk menjadikan ia satu komponen pemantauan yang dapat membantu mengurangkan risiko kes buli,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata, kaedah penghukuman juga perlu dilihat dalam memastikan bentuk pelaksanaan hukuman tersebut sama ada ia setimpal atau sebaliknya.

Ditanya mengenai pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang ditamatkan pengajian sebelum ini, Radzi berkata, Kementerian Pendidikan belum menerima permohonan daripada mereka bagi kemasukan ke sekolah harian dan ia perlu melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Boleh masuk ke sekolah harian tetapi akan ada proses termasuk kaunseling dan guru kaunseling akan bersama murid serta memantau mereka. Kita tidak mahu masalah itu dibawa ke sekolah lain.

“Namun dari sudut penilaian risiko, sekiranya kita ada pemantauan yang baik dan pendekatan yang membolehkan murid ini sedar tindakan mereka dahulu adalah salah, kita yakin mereka boleh dibawa ke sistem persekolahan harian,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI