fbpx

Ibarat nila setitik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AKSI Manchester United dan Brentford terpaksa ditunda gara-gara pandemik Covid-19.

DISEBABKAN nila setitik, rosak susu sebelanga. Itu realiti kejam yang terpaksa dihadapi semua orang di seluruh dunia susulan pandemik Covid-19 yang belum ada berpenghujungnya.

Meskipun kehidupan harian sudah mula bergerak dan berkembang, namun hakikatnya belum ada yang menang apabila membicarakan tentang virus korona.

Kewujudannya hampir dua tahun lalu, masih lagi menghantui kehidupan harian dalam apa jua bidang termasuk industri sukan. Lebih malang, virus korona semakin berkembang biak menjadi kuat selari arus masa sehingga muncul varian Omicron.

Meskipun dunia rata-ratanya sudah melakukan suntikan vaksin sebagai langkah keselamatan lebih ampuh, namun kehadiran virus tanpa diundang itu boleh mengena kepada sesiapa waima dalam sistem gelembung apabila membicarakan langkah keselamatan dalam sukan.

Justeru, tidak hairan apabila skuad hoki negara yang sepatutnya beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (ACT) di Dhaka, Bangladesh pada 14 hingga 22 Disember ini terpaksa pulang tanpa turun ke padang.

Ia gara-gara salah seorang pemain kebangsaan telah diuji positif Covid-19, maka satu pasukan terpaksa menerima natijah selain Konfederasi Hoki Malaysia memutuskan bahawa skuad Malaysian

Tigers itu tidak akan menyertai kejohanan berkenaan.

Tindakan itu turut dibuat bagi mengikut arahan dan pandangan Majlis Sukan Negara (MSN) selain kementerian-kementerian yang bertanggungjawab mengenai hal pandemik Covid-19 di negara ini.

Jika diikutkan, bukan salah atlet atau pasukan mahupun penganjur atas apa yang berlaku. Tiada siapa yang salah atau perlu dipersalahkan disebabkan virus korona.

Jadi, tiada keperluan memohon maaf atau memikul kesalahan yang bukan disengajakan. Ini kerana, tiada manusia yang hidup di atas muka bumi ini mahu dijangkiti penyakit apatah lagi yang bernama Covid-19.

Apa yang menyedihkan, segala latihan serta persiapan yang dilakukan berbulan-bulan lamanya bagi sesuatu kejohanan, penat lelah serta dedikasi yang dicurahkan berkecai di depan mata. Kejam memang kejam, tetapi kepada atlet yang terlibat tidak perlu menyalahkan diri.

Bukan hanya skuad hoki lelaki kebangsaan terpaksa berputih mata, bahkan skuad projek khas wanita negara juga tidak terlepas apabila terpaksa menjalani tempoh kuarantin panjang di Donghae,

Korea Selatan, malah tidak dibenarkan beraksi pada saingan ACT sebelum akur pulang ke tanah air.

Bagaimanapun, skuad Harimau Malaya sedikit bernasib baik walaupun dua pemainnya positif Covid-19 dalam saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi, namun ahli pasukan lain tidak dijangkiti.

Setiap negara lain-lain pendekatannya. Cuma dua pemain tersebut yang diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari dan bukan keseluruhan pasukan waima sebagai kontak rapat. Maka, skuad

Harimau Malaya masih boleh beraksi pada Piala AFF Suzuki 2021 dan diharap aksi menentang Indonesia nanti boleh menang.

Sebenarnya, bukan Malaysia sahaja berdepan perkara itu, namun seluruh dunia. Lihat sahaja apa yang berlaku pada awal pagi semalam apabila aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) melibatkan

Manchester United dan Brentford terpaksa ditunda selepas beberapa pemain dan pegawai skuad The Red Devils dijangkiti Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI