KUALA LUMPUR – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memperluaskan skop pemasarannya menerusi memorandum persefahaman (MOU) antara anak syarikatnya, FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACorp) dengan syarikat Alpha Ocean Resources Berhad Group (AORB) di ibu pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, kerjasama strategik tersebut bertujuan membekalkan makanan kepada anak kapal milik AORB Group.
“Setakat ini, syarikat yang juga pengusaha kapal tuna berpengkalan di Pelabuhan Batu Maung, Pulau Pinang itu telah berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia. Buat masa ini, syarikat tersebut mempunyai empat buah kapal dan dijangka akan ditambah sebanyak 16 unit lagi pada tahun 2022 sebaik permit mereka diluluskan.
“Menerusi kerjasama ini, FAMA dijangka boleh membekalkan kepada 60 buah kapal pada tahun 2022 yang beroperasi di Lautan Hindi dengan nilai potensi sebanyak RM3 juta atau RM50,000 untuk setiap kapal.
“AORB Group juga telah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan FAMA bagi urusan pembekalan keperluan barangan makanan seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit bagi operator-operator kapal penangkapan ikan tuna di Lautan Hindi,” katanya ketika sidang akhbar di Lembaga Pertubuhan Peladang di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi FAMA, Datuk Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razali dan Pengerusi AORB Group, Datuk Muhammad Abdullah.
Katanya, pada 2 November tahun lalu, FAMACorp telah membuat pra perbekalan stok bekalan makanan kepada AORB Group berjumlah RM35,000 kepada dua buah kapal tuna iaitu Ibu Wira 1 dan Ibu Wira 2.
“Stok bekalan makanan ini melibatkan 56 Stock Keeping Unit (SKU) yang memberi manfaat kepada usahawan tempatan seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dan Usahawan Industri Makanan.
“Antara skop kerjasama FAMACorp dan AORB Group termasuk memudahcara pembekalan stok makanan, mewujudkan platform perkongsian maklumat dalam bidang pembekalan stok makanan logistik serta aspek teknikal yang boleh memberikan manfaat kepada kedua-belah pihak,” jelasnya. – K! ONLINE