MONTEVIDEO – Persatuan Bola Sepak Uruguay (AUF) akhirnya mengesahkan status ketua jurulatih baharu dengan menamakan Diego Alonso sebagai pilihan untuk menggantikan kerusi yang ditinggalkan pengendali veteran, Oscar Tabarez selepas dipecat pada bulan lalu.
Sebagai rekod, Tabarez telah membimbing La Celeste sejak 2006 dan berjaya membawa pasukan menduduki tempat keempat Piala Dunia 2010 selain mencapai kemuncak menjuarai trofi Copa America pada edisi 2011.
Namun, pasukan Uruguay yang menduduki ranking ke-17 dunia ketika ini agak bergelut dengan masalah prestasi khususnya pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022 sehingga menyaksikan AUF mengambil keputusan untuk memecat Tabarez serta-merta.
Susulan itu, Uruguay giat mencari pengganti kepada Tabarez apabila menyenaraikan beberapa individu termasuk pengendali River Plate, Marcelo Gallardo sebelum mengambil keputusan untuk melantik Alonso.
Pelantikan Alonso disahkan menerusi video yang dimuat naik oleh AUF menerusi laman sosialnya awal pagi semalam.
Kali terakhir Alonso berada di lapangan adalah ketika membimbing kelab Liga Bola Sepak Amerika Syarikat (MLS), Inter Miami sejak musim 2019 sebelum mengundurkan diri pada awal tahun ini.
Sebelum ini, pengendali berusia 46 tahun itu turut berpengalaman membimbing beberapa kelab di sekitar benua Amerika seperti Monterrey, Pachuca, Olimpia, Penarol, Guarani dan Bella Vista.
Pencapaian terbaik dalam kariernya adalah ketika membantu Monterrey menjulang trofi Liga Juara-Juara CONCACAF pada musim 2017 dan 2019. – AGENSI