fbpx

11 PATI Lombok korban lemas Tanjung Balau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Harapan menggunung sekumpulan 50 pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia untuk menyusup ke negara ini bagi mencari rezeki berkecai apabila 11 daripada mereka ditemui lemas, manakala 25 lagi masih hilang selepas bot yang mereka naiki karam dipukul ombak.

Kejadian pada pukul 4.30 pagi semalam di Pantai Tanjung Balau di sini itu berlaku apabila bot pancung bersaiz besar menggunakan empat enjin dengan kekuatan 200 kuasa kuda terbalik ketika belayar dari perairan Lombok, Indonesia sebelum singgah di kepulauan Batam dalam keadaan cuaca buruk.

Difahamkan, kesemua mangsa tidak memakai jaket keselamatan. Baki 14 PATI yang terselamat dalam kejadian itu ditahan pihak berkuasa dan dibawa ke Tanjung Sepang untuk dikuarantin.

Lebih hiba apabila mereka yang terselamat meratap dan menangis ketika melihat mayat rakan dan saudara mereka terdampar di pantai selain pelbagai barangan peribadi termasuk bingkai gambar kenangan yang dibawa bersama turut ber­taburan.

Bingkai memaparkan gambar pasangan lelaki dan perempuan itu masih kelihatan elok meskipun cerminnya pecah.

Selain itu, turut ditemui ialah baju, seluar, pakaian dalam, beg dan barang kosmetik selain songkok dan sejadah mangsa.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Ma­ritim Malaysia Negeri Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, tragedi itu pertama kali berlaku melibatkan PATI yang datang dari Lombok ke perairan timur Johor.

“Pada mulanya, kami me­nemui 10 mayat, namun selepas mengangkat bot yang terbalik, kita menjumpai satu lagi mayat lelaki pada pukul 10.30 pagi.

“Mangsa yang terselamat mengatakan, mereka belayar dari Lombok dan bukan dari kepulauan Batam seperti ke­biasaannya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, kesemua mangsa masih trauma menyebabkan siasatan lanjut termasuk mengesan tekong bot masih belum boleh dimulakan. Mereka yang terselamat berusia antara 20 hingga 50 tahun terdiri daripada 12 lelaki dan dua wanita termasuk seorang kritikal.

SEBAHAGIAN PATI yang terselamat selepas dibandai ombak di Pantai Tanjung Balau, Penawar, Kota Tinggi semalam.

Menurut Simon, mereka yang lemas terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita.

“Seramai 159 anggota pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi carilamat yang akan dilakukan sehingga satu waktu sesuai,” katanya.

Ujar Simon, APMM juga menggunakan helikopter untuk mencari mereka yang masih hilang.

“Kita sedang mengenal pasti dalang dan sindiket terlibat,” ­katanya.

Kawasan Pantai Balau menjadi tumpuan sindiket penyeludupan manusia kerana permukaannya yang mendatar dan terletak de­kat dengan hutan.

Bukan itu sahaja, pantai ber­kenaan kini ditutup sementara waktu ekoran kerja menaik taraf kawasan berkenaan menjadikannya semakin sunyi tanpa keha­diran pengunjung.

Berita berkaitan: Bot karam: PATI dari Lombok, Indonesia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI