PORT DICKSON – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mahu kerajaan mewujudkan satu pengkhususan khas jawatan warden di setiap asrama sekolah di negara ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, jawatan warden di asrama sekolah itu membolehkan guru terlibat sebagai warden ketika ini dapat memfokuskan tugasan mengajar sedia ada.
“Cuepacs mengambil berat apa yang akan berlaku, pada masa yang sama amat simpati kepada warden bertugas yang dilantik dalam bentuk tambahan tugas, asalnya daripada seorang kemudian telah diberi tambahan kerja sebagai seorang warden dengan elaun yang tidak setimpal.
“Cuepacs ingin mencadangkan supaya diadakan suatu pengkhususan skop fungsi tugas atau dilantik terus sebagai warden bukannya disandang secara sambilan, tambahan tugas kepada guru-guru sedia ada.
“Mereka (guru) telah mempunyai tanggungjawab khusus sebagai seorang pengajar namun perlu menjadi warden. Saya difahamkan ada guru yang menolak namun telah diarahkan sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Seminar Pemantapan Diri Penjawat Awam Cuepacs Negeri Sembilan di sini hari ini.
Tiga hari lalu, media melaporkan, Kementerian Pendidikan akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan jawatan warden sepenuh masa di sekolah berasrama bagi menangani pelbagai masalah termasuk kes buli.
Sementara itu, tambah Adnan, satu pengkhususan khas jawatan warden membolehkan guru menjalankan tugasan hakikinya dengan lebih berkesan tanpa penglibatan tugas yang lain.
“Apa yang dapat dilihat sekarang guru terpaksa mengambil jawatan warden secara paksa rela bagi memastikan keselamatan pelajarnya terjamin.
“Tiada fokus utama apabila skim warden itu digabungkan justeru, perlu ada satu pengkhususan jawatan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang,” katanya. – K! ONLINE