fbpx

Tidak boleh ceroboh tanah walaupun untuk projek pertanian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razman

IPOH – Walaupun bekalan makanan diperlukan, tetapi ia tidak bermaksud kerajaan membenarkan atau menggalakkan pencerobohan tanah untuk melakukan projek pertanian.

Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria, berkata, sebarang usaha untuk melaksanakan aktiviti pertanian harus berpandukan undang-undang dan peraturan kerana setiap tanah atau kawasan ada pemiliknya.

“Apabila ada pencerobohan (tanah), mesti ada isu di situ.

“Insya-Allah bagi pihak kerajaan kita akan melihat perkara ini dalam situasi menang-menang agar tiada pihak yang menjadi mangsa dalam isu pencerobohan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) dalam sesi soalan lisan Sidang Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Muhamad Arafat membangkitkan isu kira-kira 100 petani yang mengusahakan aktiviti pertanian secara haram di kawasan seluas 400 hektar di atas tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di Kanthan dan Chemor dekat sini.

Baru-baru ini, kesemua mereka yang mendakwa sudah lama mengusahakan aktiviti itu diberi notis mahkamah agar mengosongkan kawasan tersebut dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Razman menjelaskan isu kenaikan harga produk pertanian dan makanan adalah bergantung kepada permintaan dan penawaran dalam pasaran serta di luar kawalan pihak kerajaan.

Beliau memberi contoh, sebelum ini pernah berlaku kemerosotan harga sawit sehingga timbul cadangan daripada segelintir pihak agar tanaman komoditi itu diganti dengan buluh.

Bagaimanapun, jelasnya, apabila harga sawit melonjak naik sekarang, tiada siapa yang membangkitkan semula perkara itu.

Menurut Razman, kerajaan bagaimanapun akan terus berusaha memastikan rakyat mendapat barangan makanan pada harga berpatutan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI